Keputusan mahkamah terhadap Najib bukan pengakhiran perjuangan menentang rasuah - Muhyiddin | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keputusan mahkamah terhadap Najib bukan pengakhiran perjuangan menentang rasuah - Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan membabitkan kes penyelewengan dana Datuk Seri Najib Tun Razak, bukan pengakhiran sebuah perjuangan menentang rasuah di negara ini.

 

Muhyiddin menerusi kenyataan di Facebooknya semalam berkata, masih terdapat pendakwaan kes membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan penyelewangan dana berjumlah RM2.6 bilion, kes rasuah dan kes-kes berprofil tinggi lain yang masih belum selesai.

 

"Alhamdulillah, perjuangan saya dan rakyat Malaysia menentang rasuah akhirnya terjawab di Mahkamah Persekutuan hari ini. 

 

"Saya telah menyuarakan kebimbangan mengenai penyalahgunaan kuasa dan rasuah berskala besar menerusi penyelewengan dana 1MDB dan SRC International membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak tahun 2015.

 

"Walaupun saya dihukum dengan pemecatan dari kerajaan dan parti pada ketika itu, saya terus istiqamah dengan prinsip menegakkan yang hak.

 

"Hari ini, saya bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang konsisten melawan rasuah dan penyelewengan dapat menghela nafas lega dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah ke atas Najib," katanya.

 

Menurut Muhyiddin, sistem kehakiman negara yang telah terbukti bebas menjamin tertegaknya keadilan dan mengembalikan maruah negara yang tercalar.

 

"Kebebasan sistem kehakiman inilah yang saya pertahankan ketika saya menjadi Perdana Menteri. Walaupun ada desakan politik supaya saya campurtangan dalam kes tertentu, saya tegas menolaknya walau akhirnya saya terpaksa meletak jawatan kerana mempertahankan prinsip ini," katanya.

 

Beliau juga berharap kebebasan badan kehakiman di negara terus dilindungi tanpa ada cubaan campur tangan atau desakan politik dari mana-mana pihak agar keadilan dapat ditegak.

 

Katanya, kebebasan dan integriti badan kehakiman seperti mana yang terbukti pada hari ini adalah paksi sebuah negara demokrasi. 

 

"Tanpa badan kehakiman yang bebas, sistem demokrasi di negara kita akan gagal untuk berfungsi dan Malaysia menjadi sebuah negara yang bersifat autoritarian, rasuah dan bankrap moral, na'uzubillah.

 

"Atas segalanya, saya mendoakan agar Malaysia bebas sepenuhnya daripada amalan kleptokrasi, dijauhi daripada bala bencana dan rakyat dapat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera," katanya. - DagangNews.com