Kenanga, Ant Group lancar Wealth SuperApp pertama di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga, Ant Group lancar Wealth SuperApp pertama di Malaysia

(Dari kiri) Pengurus Besar Perniagaan Antarabangsa Ant Group, Derrick Loi; Pengarah Eksekutif dan Ketua Perniagaan Pembrokeran Ekuiti Kumpulan Kenanga, Lee Kok Khee; Datuk Chay Wai Leong, Geoff Jiang dan Ketua Pegawai Digital Kenanga, Ian Lloyd ketika majlis menandatangani MoU antara Kenanga dan Ant Group.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Kenanga Investment Bank Berhad (Kenanga) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Ant Group bagi memanfaatkan platform mPaaS untuk melancarkan Wealth SuperApp yang pertama di Malaysia.

 

SuperApp menjurus untuk merevolusikan cara rakyat Malaysia mendekati penjanaan dan pengurusan kekayaan, dengan menyepadukan set penyelesaian kewangan, seperti perdagangan saham, pengurusan pelaburan digital, e-dompet, perdagangan crypto dan pertukaran mata wang asing ke dalam satu platform dan ekosistem.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga, Datuk Chay Wai Leong berkata, mereka sangat teruja untuk bekerjasama dengan Ant Group, untuk membangunkan platform SuperApp.

 

“Kami berharap bukan sahaja menyatukan spektrum luas tawaran kewangan di bawah satu bumbung, tetapi lebih penting menjadikan penciptaan kekayaan lebih mudah diakses dengan mendemokrasikan perkhidmatan kewangan untuk jutaan rakyat Malaysia di seluruh negara yang mahukan akses kepada kewangan yang lebih baik, pantas dan lebih murah.

 

“Dengan hampir 50 tahun pengalaman runcit yang melayani lebih setengah juta pelanggan, kami percaya Kenanga Wealth SuperApp akan melonjakkan pertumbuhan kami ke peringkat seterusnya. 

 

"Kami memulakan perjalanan digital kami lima tahun lalu, dan mempunyai saluran produk digital yang mantap yang ditetapkan untuk membentuk semula hubungan kami dengan pelanggan kami dan memanfaatkan peluang di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Presiden Kumpulan Perniagaan Teknologi Digital Ant Group,  Geoff Jiang pula berkata, mereka komited menyokong pelanggan untuk menyampaikan perkhidmatan yang lebih pantas, dipercayai dan mudah kepada pengguna.

 

 

kenanga

 

 

"Platform pembangunan mudah alih mPaaS gred kewangan kami berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong Kenanga dalam menyepadukan pelbagai produk dan perkhidmatan kepada SuperApp," katanya.

 

Unit teknologi digital Kumpulan Ant membangunkan rangkaian lengkap penyelesaian digital dalam bidang rantaian blok, pengkomputeran privasi, teknologi keselamatan dan pangkalan data. 

 

Syarikat komited untuk membolehkan dan mengukuhkan kepercayaan untuk peserta dalam ekonomi digital, termasuk pengguna, perniagaan dan rakan kongsi.


 
Pembangunan SuperApp ini memperluaskan portfolio produk digital Kenanga telah berjaya dilancarkan daripada Rakuten Trade kepada Kenanga Digital Investing, penasihat robo yang telah mengumpul lebih RM250 juta dalam AUM dalam tempoh enam bulan. - DagangNews.com