YTL Corp diyakini mampu mengekalkan prestasi positif pada FY26 disokong segmen air, pembetungan dan pusat data – Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

YTL Corp diyakini mampu mengekalkan prestasi positif pada FY26 disokong segmen air, pembetungan dan pusat data – Penganalisis

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb –  Meskipun YTL Corporation Berhad mencatatkan penurunan keuntungan suku kedua FY26, prospek jangka sederhana hingga panjang syarikat masih kukuh dengan melihat segmen air dan pembetungan terus menjadi sumber aliran tunai stabil, kata penganalisis.

 

Selain itu, pusat data (DC) yang sudah mula beroperasi dijangka menjadi pemacu pertumbuhan baharu menjelang FY28.

 

Dengan saham YTLP yang kini diniagakan pada FY26 PER 13.4x, penganalisis menilai ini sebagai peluang menarik untuk pelabur memasuki pasaran pada harga yang dianggap berada bawah penilaian pasaran.

 

Sehubungan itu, MBSB mengekalkan cadangan Beli dengan sasaran harga RM4.94 meningkat sedikit daripada RM4.92 sebelumnya, dengan mengekalkan unjuran keuntungan kerana ia masih dalam jangkaan mereka. 

 

Cadangan itu dibuat kerana pelaburan strategik syarikat dalam pusat data, projek hijau dan segmen air serta pembetungan memberi keyakinan bahawa kumpulan ini mampu mengekalkan aliran tunai yang stabil dan memanfaatkan peluang pertumbuhan baharu dalam beberapa tahun akan datang.

 

“Pertumbuhan pusat data menjadi pemangkin baharu kepada keuntungan kumpulan, walaupun sumbangannya masih kecil berbanding operasi utama.

 

“Segmen ini dilihat sebagai peluang strategik untuk pertumbuhan jangka sederhana hingga panjang,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Namun, tekanan masih dirasai pada segmen penjanaan tenaga, terutamanya Power Seraya di Singapura, berikutan harga tenaga yang lebih rendah. 

 

Penganalisis menjangka cabaran ini mungkin menjejaskan prestasi suku seterusnya, tetapi kesan negatif dapat diimbangi oleh sumbangan positif daripada segmen air dan pusat data.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih YTL Corp merosot 22.7% kepada RM788 juta pada 2QFY26

 

Menurut MBSB Research, YTLP mencatat keuntungan teras 2QFY26 sebanyak RM604.7 juta, menurun 8.1 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala bagi 6 bulan pertama FY26, keuntungan teras berjumlah RM1.10 bilion, turun 21.4 peratus. 

 

Keputusan ini dianggap berada dalam jangkaan MBSB Research, walaupun sedikit di bawah konsensus pasaran.

 

Sementara itu, CGSI Research menekankan bahawa keuntungan 2QFY26 YTLP meningkat 11 peratus suku ke suku, didorong oleh sumbangan lebih kukuh daripada DC, penurunan kerugian telco dan impak penuh kenaikan tarif air Johor sejak Ogos 2025.

 

CGSI turut memberi amaran bahawa Power Seraya mungkin menghadapi tekanan lebih lanjut pada separuh kedua FY26 berikutan kontrak gas semula harga dan penawaran tenaga yang semakin berkurangan.

 

Oleh itu, mereka menjangkakan keuntungan 2H26F akan lebih rendah.

 

Dalam perkembangan segmen DC, CGSI menyatakan 110MW kapasiti telah mula beroperasi dan potensi tambahan 80MW masih dalam peringkat akhir perundingan. Segmen ini dijangka terus menyumbang secara positif, walaupun cabaran geopolitik menjejaskan kapasiti AI sekitar 10MW.

 

CGSI juga melaporkan pengambilalihan tambahan 13.9 peratus dalam Digital Nasional Berhad (DNB) pada awal Feb 2026, menjadikan pegangan YTLP kini 33 peratus dan melihatnya sebagai usaha strategik memperkukuh kedudukan syarikat dalam infrastruktur digital dan telekomunikasi.

 

CGSI mengekalkan pegangan “Pegang” dengan TP SOP-based RM3.10, lebih rendah daripada RM3.30 sebelum ini, berikutan penurunan jangkaan PATFY26-28 sebanyak 14-27 peratus. 

 

Penurunan ini mengambil kira keuntungan Power Seraya yang lebih rendah, kerugian ekuiti daripada DNB, dan perkembangan operasi terkini. - DagangNews.com