KUALA LUMPUR 8 Jun – Pengasas GIIB Holdings Bhd, Tai Boon Wee mendakwa beliau menjadi sasaran dalam cubaan pengambilan alih syarikat secara tidak sah yang didakwa melibatkan satu kumpulan WhatsApp dikenali sebagai “soldier boys”.
Perkara itu didedahkan ketika prosiding di Mahkamah Tinggi apabila Tai, 66, yang kini berperanan sebagai penasihat syarikat memberi keterangan sebagai saksi dalam kes saman fitnah melibatkan GIIB dan beberapa pihak lain.
Tai berkata dakwaan konspirasi itu bermula selepas beliau diperkenalkan kepada bekas pengarah syarikat, Wong Weng Yew dan Yee Voon Hon pada tahun 2020 sebelum hubungan perniagaan mereka bertukar menjadi pertikaian pemilikan saham.
Menurutnya, pertikaian tersebut kemudian menjadi konflik lebih serius termasuk dakwaan wujud kempen untuk menjatuhkan reputasi dirinya serta ahli keluarga.
Tai mendakwa kumpulan WhatsApp berkenaan digunakan oleh pihak tertentu untuk membincangkan strategi mengambil alih kawalan GIIB secara terancang dan berperingkat.
Antara dakwaan yang dikemukakan termasuk penggunaan dana haram untuk mencemarkan nama baik keluarganya, serta tindakan terancang untuk menjejaskan reputasi peribadi dan korporat beliau, lapor NST.
Beliau turut mendakwa terdapat perbincangan untuk melambatkan urusan perbankan, memanipulasi liputan media serta mengeluarkan kenyataan negatif bagi memberi tekanan kepada harga saham GIIB di pasaran.
Tai menyifatkan mesej-mesej tersebut sebagai bukti kepada satu rancangan terancang, sistematik dan berterusan untuk menjejaskan syarikat serta mengambil alih kawalan GIIB.

Dalam keterangannya juga, Tai mendakwa beliau pernah diminta oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bertemu seorang individu berkaitan siasatan yang sedang dijalankan.
Beliau turut mendakwa pernah berlaku insiden pada 2023 di sebuah restoran di Publika, Kuala Lumpur apabila beliau dikatakan diugut dengan senjata api oleh seorang ahli perniagaan selepas enggan memenuhi tuntutan berkaitan pegangan saham GIIB.
Bagaimanapun, pihak pembelaan mempersoalkan dakwaan tersebut apabila ia tidak dimasukkan dalam kenyataan saksi awal atau laporan polis, namun Tai menjelaskan beliau hanya berasa selamat untuk mendedahkannya selepas terdapat laporan media mengenainya.
Dalam perkembangan berkaitan, GIIB telah memfailkan saman fitnah terhadap Wong Weng Yew, Yee Voon Hon dan lima individu lain atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah pada tahun 2022 di beberapa platform media.
Saman itu turut melibatkan tuntutan injunksi, permohonan maaf secara terbuka serta tuntutan ganti rugi am, teruk dan punitif selain kos perbicaraan.
Bagaimanapun, pihak defendan mendakwa tindakan terhadap Wong berpunca daripada pendedahan beliau sebagai pemberi maklumat (whistleblower) berhubung transaksi mencurigakan berjumlah RM630,000 yang didakwa disalahgunakan oleh Tai dan ahli keluarganya, termasuk melalui entiti GIIB Healthcare Products Sdn Bhd.
Wong juga mendakwa beliau digantung daripada jawatan selepas membuat pendedahan tersebut dan terdapat cubaan untuk mendapatkan kelulusan transaksi tambahan berjumlah RM500,000 ketika tempoh penggantungannya.
Selain itu, beliau turut mendakwa peranannya sebagai pemberi maklumat menyebabkan beliau terdedah kepada tindakan balas dalam syarikat yang mencetuskan pertikaian lebih besar antara pihak-pihak terbabit.
Kedua-dua Wong dan Yee telah memfailkan tuntutan balas terhadap Tai dan beberapa pihak lain yang akan dibicarakan di hadapan Hakim Quay Soon Chew. Perbicaraan kes berprofil tinggi itu akan bersambung pada 29 Julai. - DagangNews.com








