KUALA LUMPUR 26 Feb – YTL Corporation Berhad mencatatkan penurunan keuntungan bersih bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2025 apabila prestasi kewangannya terjejas berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi suku semasa, kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM7.59 bilion berbanding RM8.06 bilion pada suku yang sama tahun kewangan lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, YTL Corporation berkata keuntungan sebelum cukai susut kepada RM1.06 bilion daripada RM1.3 bilion sebelum ini, manakala keuntungan bagi tempoh tersebut berjumlah RM787.97 juta berbanding RM1.02 bilion setahun lalu.
Keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham biasa syarikat induk turut berkurangan kepada RM438.03 juta daripada RM580.01 juta sebelum ini.
Seiring penyusutan keuntungan, pendapatan asas sesaham (EPS) merosot kepada 3.86 sen berbanding 5.26 sen pada suku sama tahun lalu.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2025, hasil kumpulan berjumlah RM15.23 bilion berbanding RM15.83 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai bagi tempoh tersebut menurun kepada RM2.04 bilion daripada RM2.20 bilion, manakala keuntungan bersih susut kepada RM1.45 bilion berbanding RM1.67 bilion sebelum ini.
Keuntungan boleh diagihkan kepada pemegang saham pula berjumlah RM784.51 juta berbanding RM913.72 juta dalam tempoh sama tahun kewangan terdahulu, dengan EPS bagi tempoh tersebut merosot kepada 6.80 sen daripada 8.29 sen.
Lembaga pengarah tidak mencadangkan sebarang dividen bagi suku yang dilaporkan.
Anak syarikat utamanya, YTL Power International Bhd mencatat prestasi suku tahunan sedikit lemah susulan faktor luaran yang menjejaskan operasi luar negara. Cabang tenaga dan utiliti itu mencatat hasil RM5.25 bilion pada 2Q26 manakala keuntungan sebelum cukai merosot kepada RM603.8 juta dan keuntungan selepas cukai turun kepada RM462.3 juta.
Kesan pertukaran mata wang, dengan pengukuhan ringgit mengurangkan pendapatan yang dilaporkan memandangkan sebahagian besar pendapatan YTL Power International Bhd dijana dalam mata wang asing termasuk dolar Amerika Syarikat, dolar Singapura dan pound sterling. - DagangNews.com








