KUALA LUMPUR 8 Jun - Aktivis politik Mohd Hisyamuddin Ghazali dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan Hisyamuddin atau lebih dikenali sebagai Syam Ghaz itu diumumkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam perhimpunan bulanan warga Kementerian Komunikasi, sekali gus menjadikannya individu keempat menerajui agensi tersebut sejak pentadbiran Kerajaan Madani mengambil alih Putrajaya.
Syam yang pernah bertanding di kerusi Parlimen Kuala Krai mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menggantikan Datuk Ismail Yusop yang menamatkan perkhidmatannya pada Jumaat lalu selepas lebih setahun menerajui J-KOM.
Ketika mengumumkan pelantikan tersebut, Fahmi turut merakamkan penghargaan kepada Ismail atas sumbangannya sepanjang menerajui jabatan berkenaan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Ismail yang dipanggil untuk menggalas tugas baharu oleh Pejabat Perdana Menteri. Selamat datang kepada saudara Syam Ghaz yang dipilih untuk menerajui J-KOM,” katanya.
Syam merupakan aktivis politik yang berasal dari Kelantan dan mula dikenali ketika era Pakatan Rakyat di bawah pentadbiran Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) sekitar 2015, pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apam Putra pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 sebelum menyertai PKR.
Sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Jkom, Syam merupakan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.
Dalam satu hantaran di Facebook, Syam melahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Fahmi untuk menerajui J-KOM.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Saifuddin Nasution atas bimbingan yang diberikan sepanjang berkhidmat di Kementerian Dalam Negeri.
“Tidak lupa kepada Datuk Seri Saifuddin bagi tunjuk ajar dan sudi melepaskan saya untuk tugas baharu. Masa untuk reform habis-habisan,” katanya lapor MalaysiaKini.
Ismail dilantik sebagai Ketua Pengarah J-KOM pada Januari 2025 bagi menggantikan Mohd Khairuddin Othman, yang sebelum itu mengambil alih jawatan berkenaan pada Mac 2023 daripada Prof. Datuk Dr. Mohammad Agus Yusof.
J-KOM merupakan agensi di bawah Kementerian Komunikasi yang berperanan memperkukuh komunikasi dasar kerajaan serta menyampaikan maklumat kepada masyarakat bagi meningkatkan kefahaman terhadap inisiatif dan agenda pembangunan negara. - DagangNews.com








