KUALA LUMPUR 8 Jun — Well Chip Group Berhad bercadang untuk dapat mengumpul dana tambahan sehingga mencecah RM120 juta menerusi terbitan hak boleh lepas, menurut analisis Malacca Securities.
Jelas firma penyelidikan tersebut, langkah berkenaan dilihat mampu mempercepatkan perluasan perniagaan pajak gadai dan mampu meningkatkan pendapatan faedah kumpulan dalam tempoh jangka panjang.
Cadangan pengumpulan dana itu ujarnya, merupakan usaha strategik bagi mengukuhkan modal syarikat, walaupun dijangka turut memberi kesan pencairan pendapatan sesaham (EPS) dalam jangka pendek.
"Kami positif menilai hasrat Well Chip menerbitkan sehingga 120 juta saham baharu berdasarkan nisbah satu saham hak bagi setiap lima saham sedia ada dipegang pemegang sahamnya," kata Malacca Securities.
Pada harga indikatif minimum RM1 sesaham, syarikat dijangka memperoleh sekurang-kurangnya RM60.8 juta, manakala jumlah kutipan boleh mencecah RM120 juta jika semua saham hak dilanggan sepenuhnya.
Tambah firma berkenaan, sebahagian besar dana yang diperoleh itu, antara RM44.6 juta hingga RM88.8 juta, akan digunakan sebagai modal tunai untuk mengembangkan portfolio pinjaman pajak gadai.
Sementara kira-kira RM15 juta hingga RM30 juta lagi ujar Malacca Securities, bakal diperuntukkan bagi pembukaan sejumlah enam cawangan pajak gadai baharu Well Chip di sekitar Melaka dan Johor.

"Pengembangan buku pinjaman dijangka menyokong hasil faedah pada masa depan, selain memperkukuh kedudukan dalam industri pembiayaan bercagar emas yang menunjukkan permintaan kukuh," jelasnya.
Langkah itu dijangka meningkatkan ekuiti pemegang saham daripada RM483.3 juta kepada RM602.1 juta berdasarkan had maksimum, dan mengurangkan nisbah penggearan daripada 0.92 kali kepada 0.74 kali.
Sehubungan itu kata Malacca Securities, keadaan ini akan memberikan ruang yang lebih besar untuk Well Chip melaksanakan pelan pengembangan tanpa terlalu bergantung kepada pembiayaan hutang.
Ia mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM2.07 sesaham, berasaskan nisbah harga kepada nilai buku (P/B) sebanyak dua kali ganda bagi unjuran nilai buku sesaham FY27 sebanyak RM1.03.
"Penilaian ini disokong oleh rekod pulangan atas ekuiti (ROE) yang kukuh, rancangan pengembangan cawangan secara berterusan, serta permintaan stabil terhadap pembiayaan bercagar," tambahnya.
Pada masa sama ujar Malacca Securities, faktor kenaikan harga emas dan kedudukan Well Chip sebagai antara syarikat pajak gadai tersenarai di Bursa Malaysia, turut menyokong pertumbuhan positif.
Bagaimanapun, antara risiko utama perlu dipantau termasuk persaingan industri semakin sengit, turun naik harga emas, risiko keselamatan fizikal dan pematuhan terhadap keperluan kawal selia. - DagangNews.com








