Kelemahan margin Oriental Kopi hanya bersifat sementara susulan fasa pengembangan, MBSB Research naik taraf kepada ‘Beli’ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelemahan margin Oriental Kopi hanya bersifat sementara susulan fasa pengembangan, MBSB Research naik taraf kepada ‘Beli’

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Jun – MBSB Research menaik taraf saranan terhadap Oriental Kopi kepada “Beli” berikutan penurunan harga saham kebelakangan ini yang dilihat membuka peluang penilaian semula pada tahap lebih menarik, meskipun sasaran harga kekal tidak berubah pada RM1.06.

 

MBSB Research berkata pada paras harga sekitar RM0.92, saham tersebut menawarkan potensi kenaikan kira-kira 15 peratus, disokong oleh prospek pertumbuhan jangka panjang yang masih kukuh.

 

Menurutnya, tahun kewangan 2026 kekal sebagai tahun pengembangan agresif bagi syarikat dengan fokus utama kepada peluasan rangkaian kafe, pengukuhan segmen produk pengguna bergerak pantas (FMCG) serta perancangan memasuki pasaran luar negara.

 

“Dalam tempoh tersebut, syarikat dijangka berdepan tekanan margin jangka pendek susulan peningkatan kos operasi termasuk pembukaan outlet baharu, kos tenaga kerja, bayaran bonus serta perbelanjaan pemasaran yang lebih tinggi.

 

“Setakat ini, Oriental Kopi telah mengembangkan rangkaian kafenya kepada 34 cawangan di Malaysia dan Singapura, meningkat daripada 28 cawangan pada tahun kewangan sebelumnya.

 

“Daripada jumlah itu, 31 cawangan terletak di Malaysia manakala tiga lagi di Singapura dengan pembukaan baharu termasuk Queensbay Mall, KLIA2 Boarding Hall, KLIA Terminal 1, Sunway Velocity, Suria Sabah dan Dataran Merdeka,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Syarikat itu turut merancang untuk membuka tambahan empat hingga enam cawangan baharu menjelang akhir FY2026 dengan lokasi sasaran termasuk Merdeka 118, IJM Penang, Ombak KLCC, Genting serta beberapa lokasi tumpuan yang tinggi lain.

 

t

 

Bagi FY2027, MBSB Research menjangka peluasan akan lebih tertumpu kepada kawasan utara, Pantai Timur, Selangor, selatan tanah air serta tambahan satu hingga dua lokasi di Sabah dan Sarawak manakala lokasi premium seperti lapangan terbang, Pavilion Kuala Lumpur, KLCC dan pusat pelancongan terus menjadi penyumbang utama prestasi syarikat.

 

Dari sudut operasi, kumpulan mempunyai sekitar 2,000 kakitangan dengan kira-kira 35 peratus merupakan pekerja asing, namun kekangan kuota tenaga kerja asing terus menjadi cabaran kepada kelancaran pengembangannya.

 

Kos tenaga kerja turut meningkat susulan bayaran bonus tahunan sekitar RM1 juta, kos levi pekerja asing yang dibayar lebih awal serta kenaikan kos operasi pembukaan cawangan baharu.

 

Selain itu, segmen FMCG turut terkesan oleh strategi harga khas kepada pengedar, kos penyenaraian produk di runcit serta perbelanjaan promosi bagi memperluas saluran pengedaran.

 

Selain itu, aktiviti penjenamaan turut diperkukuh melalui pencapaian Guinness World Record bagi jualan 11,446 nasi lemak dalam tempoh lapan jam di IOI City Mall, selain kolaborasi dengan Shangri-La Kuala Lumpur dan Inside Scoop.

 

Saluran penghantaran makanan seperti Grab menyumbang kira-kira 10 peratus kepada hasil kafe, disokong promosi berterusan serta permintaan pelanggan yang stabil.

 

Secara keseluruhan, MBSB Research menyifatkan penurunan harga saham baru-baru ini sebagai peluang menarik, dengan jangkaan pemulihan margin dijangka lebih ketara dalam beberapa suku akan datang apabila rangkaian baharu mula matang dan kos pengembangan mula stabil. - DagangNews.com