AirBorneo sasar tambah kekerapan penerbangan Kuching-Singapura mulai hujung tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirBorneo sasar tambah kekerapan penerbangan Kuching-Singapura mulai hujung tahun

KUALA LUMPUR 23 Julai - Syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak, AirBorneo Airways menjangkakan permintaan yang kukuh bagi laluan antarabangsa sulungnya antara Kuching dan Singapura susulan sambutan menggalakkan yang diterima sejak jualan tiket dibuka pada 13 Julai lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata, syarikat itu optimis terhadap prestasi operasi jet baharunya selepas menerima permintaan memberangsangkan, khususnya daripada penumpang di Singapura menjelang musim perayaan akan datang.

 

Beliau berkata, walaupun jualan tiket baharu dibuka lebih seminggu lalu, tempahan bagi tempoh sambutan Tahun Baharu Cina tahun hadapan menunjukkan perkembangan yang amat positif.

 

"Walaupun kami baru membuka jualan pada 13 Julai, kami telah menerima sambutan yang sangat baik bagi tempoh Tahun Baharu Cina tahun hadapan.

 

"Kami menyaksikan permintaan yang sangat menggalakkan dan penerbangan sulung semalam juga berjalan lancar tanpa sebarang masalah operasi," katanya.

 

Menurut beliau, antara faktor utama yang mendorong permintaan ialah tambang kompetitif yang ditawarkan, dengan harga bermula RM399 bagi tiket ekonomi sehala termasuk semua caj, manakala tambang kelas perniagaan bermula RM871.

 

Penerbangan sulung AirBorneo MY363 berlepas dari Kuching pada 22 Julai pada pukul 6.50 petang sebelum tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura pada pukul 8.04 malam.

 

Penerbangan pulang MY364 pula berlepas dari Singapura pada pukul 9.27 malam dan selamat tiba di Kuching pada pukul 10.36 malam.

 

Pelancaran laluan antarabangsa pertama itu yang diadakan sempena sambutan Hari Sarawak dilihat sebagai satu pencapaian penting dalam usaha negeri itu memperkukuhkan kedudukannya sebagai pintu masuk utama ke rantau ini.

 

Megat Ardian berkata, pemilihan Singapura sebagai destinasi antarabangsa pertama adalah selaras dengan hubungan ekonomi dan jaringan perhubungan yang kukuh antara Sarawak dengan salah satu hab penerbangan dan perdagangan terpenting di Asia Tenggara.

 

"Singapura merupakan pilihan semula jadi sebagai destinasi antarabangsa pertama kami kerana hubungan yang kukuh serta ikatan ekonomi yang erat antara Sarawak dan salah satu hab penerbangan serta perdagangan utama di rantau ini.

 

"Kami berharap dapat menghubungkan Sarawak dengan lebih banyak destinasi, memperkukuh kesalinghubungan serantau serta menyokong pertumbuhan jangka panjang negeri ini," katanya.

 

AirBorneo kini mengendalikan satu penerbangan setiap hari bagi laluan Kuching-Singapura.

 

Dalam pada itu, beliau berkata syarikat penerbangan itu merancang meningkatkan kekerapan penerbangan sebaik menerima pesawat tambahan.

 

Menurutnya, AirBorneo menyasarkan untuk meningkatkan operasi kepada dua penerbangan sehari menjelang penghujung tahun ini, sebelum menambah kepada tiga penerbangan sehari seawal suku pertama tahun hadapan, bergantung kepada penambahan armada pesawat. - BERNAMA