KUALA LUMPUR 23 Julai — Hextar Technologies Solutions Berhad mencatatkan peningkatan 69.7% kerugian bersih kepada sebanyak RM38.30 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY26).
Menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia, jumlah berkenaan adalah ketara berbanding kerugian bersih hanya kira-kira RM22.57 juta yang pernah dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.
Peningkatan ini didorong terutamanya oleh langkah berhati-hati dalam pelarasan perakaunan terhadap aplikasi teknologi kewangan MoneyX, setelah syarikat memendekkan anggaran hayat aplikasi tersebut.
"Ia dikurangkan daripada lima tahun kepada tiga tahun, selain kos pembangunan tahun semasa terus direkodkan sebagai perbelanjaan dan bukan perbelanjaan modal (capex)," jelas Hextar Technologies.
Hasil kumpulan berkenaan ujarnya, turut merosot kepada RM141.46 juta berbanding RM181.09 juta pada FY25, kesan daripada sumbangan yang lebih rendah dalam beberapa segmen perniagaan utama syarikat.
Segmen perdagangan merupakan penyumbang terbesar hasil (73.2%), namun mencatatkan penurunan 25.3% kepada RM103.57 juta berikutan kurang kontrak pembekalan bahan utama dalam sektor pembinaan.

Sementara segmen logistik kata Hextar Technologies, mencatatkan hasil RM34.49 juta, susut 11.8% disebabkan permintaan rendah bagi perkhidmatan penghantaran kargo, khususnya ke pasaran Indonesia.
"Perubahan tempoh pelunasan turut mengakibatkan tambahan perbelanjaan RM4.88 juta, manakala RM14.91 juta kos pembangunan tahun semasa diiktiraf terus dalam penyata pendapatan," kata kumpulan itu.
Bagaimanapun kerugian kasar syarikat diimbangi sedikit oleh keuntungan sekali sebanyak RM5.68 juta daripada kegiatan pelupusan hartanah di Pasir Gudang, Johor dan sejumlah trak yang berusia lama.
Pengerusi Hextar Technologies, Tan Sri Muhammad Ibrahim menyifatkan FY26 sebagai tahun transformasi strategik membina kedudukan sebagai perniagaan berasaskan teknologi di sebalik operasi mencabar.
Walaupun pelaburan strategik memberi kesan kepada prestasi kewangan jangka pendek, beliau percaya ia akan memperkukuh kedudukan kompetitif kumpulan dan mencipta nilai jangka panjang yang mampan.
"Melangkah ke hadapan, kami optimis terhadap peluang dalam ekonomi digital melalui platform sedia ada, selain pelancaran platform baharu yang dijangka menyokong pertumbuhan," katanya. - DagangNews.com








