Keuntungan Betamek melonjak 56.5% pada 1QFY27, umum dividen 1.25 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan Betamek melonjak 56.5% pada 1QFY27, umum dividen 1.25 sen

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Julai – Betamek Berhad mencatat prestasi kewangan memberangsangkan bagi suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27), disokong peningkatan jumlah pengeluaran produk automotif, pertumbuhan jualan eksport serta usaha mempelbagaikan pelanggan.

 

Betamek merekodkan hasil sebanyak RM79.82 juta bagi suku berakhir 30 Jun 2026, meningkat 40.3% berbanding RM56.88 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) Betamek melonjak 56.5% kepada RM11.21 juta berbanding RM7.16 juta sebelum ini, manakala keuntungan selepas cukai meningkat 53.1% kepada RM8.25 juta daripada RM5.39 juta.

 

Untung kasar turut mencatat peningkatan ketara sebanyak 55.9% kepada RM16.32 juta berbanding RM10.46 juta pada suku sama tahun lalu, mencerminkan keupayaan syarikat meningkatkan operasi seiring permintaan pasaran yang semakin baik.

 

Menurut Betamek, pertumbuhan kukuh itu terutama disumbangkan oleh peningkatan jualan dalam segmen produk automotif, khususnya produk audio dan video kenderaan yang kekal menjadi penyumbang terbesar kepada hasil kumpulan.

 

Produk Automotif Dan Eksport Terus Menjadi Pemacu Pertumbuhan

Segmen produk audio dan video kenderaan menjana hasil sebanyak RM45.34 juta sepanjang suku berkenaan, manakala produk aksesori kenderaan menyumbang RM24.35 juta kepada keseluruhan pendapatan kumpulan.

 

Selain itu, modul sambungan terus menunjukkan perkembangan positif dengan menyumbang RM6.77 juta, sejajar peningkatan penggunaan teknologi elektronik dalam platform kenderaan moden.

 

Betamek berkata, prestasi suku pertama tahun kewangan 2027 turut bertambah baik berbanding suku sebelumnya apabila hasil meningkat 20.9% daripada RM66.03 juta pada suku keempat tahun kewangan 2026 kepada RM79.82 juta.

 

Dalam tempoh sama, untung kasar meningkat daripada RM15.39 juta kepada RM16.32 juta, manakala keuntungan sebelum cukai bertambah daripada RM9.57 juta kepada RM11.21 juta, disokong peningkatan jumlah pengeluaran serta permintaan berterusan daripada program automotif utama.

 

Strategi kepelbagaian pelanggan kumpulan juga terus menunjukkan kemajuan apabila sumbangan hasil daripada pelanggan bukan utama meningkat kepada kira-kira 21% daripada keseluruhan hasil berbanding sekitar 18% pada tahun kewangan 2026.

 

t
Muhammad Fauzi Abd Ghani

 

Betamek Perkukuh Nilai Pemegang Saham Melalui Dividen

Pada masa sama, jualan eksport menyumbang kira-kira 18% daripada jumlah hasil kumpulan, didorong permintaan yang semakin meningkat dari Hong Kong dan pasaran serantau.

 

Bagi menghargai sokongan pemegang saham, Lembaga Pengarah Betamek mengisytiharkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 1.25 sen sesaham bagi tahun kewangan 2027.

 

Dividen tersebut akan dibayar pada 17 Ogos 2026 kepada pemegang saham yang namanya tersenarai dalam rekod pendeposit pada 6 Ogos 2026.

 

Selain itu, lembaga pengarah turut mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.25 sen sesaham bagi tahun kewangan 2026, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan akan datang.

 

Secara keseluruhan, jumlah dividen bagi tahun kewangan 2026 termasuk dividen interim terdahulu mencapai 6 sen sesaham, bersamaan hasil dividen kira-kira 9.2% berdasarkan harga penutupan saham Betamek pada 22 Julai 2026.

 

Fokus Pendigitalan Dan Teknologi Pintar Untuk Pertumbuhan Jangka Panjang

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Betamek, Muhammad Fauzi Abd Ghani berkata, kumpulan itu berpuas hati dengan permulaan kukuh bagi tahun kewangan 2027 apabila hasil, untung kasar dan keuntungan sebelum cukai mencatat pertumbuhan positif secara tahunan serta suku ke suku.

 

Beliau berkata, prestasi tersebut disokong peningkatan jumlah pengeluaran dalam segmen produk automotif selain kemajuan berterusan dalam usaha mempelbagaikan pelanggan.

 

“Perkembangan positif ini mencerminkan asas perniagaan yang kukuh dan menyediakan landasan baik untuk pertumbuhan mampan jangka panjang,” katanya.

 

Dalam memperkukuh keupayaan operasi dan teknologi, anak syarikat milik penuh Betamek, Betamek Electronics (M) Sdn Bhd baru-baru ini menerima pengiktirafan Tahap 4 di bawah program Penilaian Pembuatan Pintar Industry4WRD oleh Institut Robotik dan IoT Automotif Malaysia (MARii).

 

Pengiktirafan itu mencerminkan komitmen kumpulan dalam memperluas penggunaan pendigitalan, automasi dan pembuatan pintar dalam operasinya.

 

Pada masa sama, Betamek terus mengembangkan pengkomersialan projek infotainment SafeSync360 serta meneroka kerjasama strategik berkaitan teknologi komunikasi kenderaan elektrik (EV) dan sistem hiburan kenderaan generasi baharu. - DagangNews.com