Tune Protect, Sunway XFarms perluas Grow & Give pupuk kelestarian dan jaminan makanan generasi muda | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tune Protect, Sunway XFarms perluas Grow & Give pupuk kelestarian dan jaminan makanan generasi muda

Sukarelawan Tune Protect bersama guru dan pelajar SK Saujana Putra pada program Grow & Give.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 23 Julai – Tune Protect Group Berhad meneruskan komitmennya untuk mewujudkan impak komuniti yang bermakna dan mampan menerusi Grow & Give, inisiatif Corporate Good (CG) yang dilaksanakan dengan kerjasama Sunway XFarms.

 

Berlandaskan kejayaan program tahun lalu, inisiatif pada tahun ini diperluaskan daripada usaha memperkukuh jaminan makanan komuniti kepada memperkasa pelajar menerusi pendidikan kelestarian, pembelajaran berasaskan pengalaman dan kesukarelawanan pekerja.

 

Program yang berpusat di Sekolah Kebangsaan Saujana Putra di Jenjarom, Selangor itu menggabungkan pertanian mampan, penambahbaikan persekitaran dan aktiviti pendidikan secara praktikal bagi menggalakkan jaminan makanan, di samping melengkapkan pelajar dengan pengetahuan praktikal mengenai amalan menjaga alam sekitar secara bertanggungjawab.

 

Menerusi tiga sesi kesukarelawanan sepanjang tahun ini, pekerja Tune Protect dan Sunway XFarms akan bekerjasama dengan guru serta pelajar untuk melaksanakan penambahbaikan berkekalan yang terus memberi manfaat kepada komuniti sekolah selepas program itu berakhir.


 

TuneProtect
Pasukan Sunway XFarms memberikan demonstrasi pertanian hidroponik kepada sukarelawan Tune Protect dan pelajar SK Saujana Putra.

 

Antara tarikan utama inisiatif berkenaan ialah pemasangan enam unit sistem pertanian hidroponik berkuasa solar di kawasan sekolah.

 

Lebih daripada sekadar kemudahan pertanian, sistem itu akan berfungsi sebagai bilik darjah hidup yang memberikan pendedahan praktikal kepada pelajar mengenai pertanian mampan, selain menyediakan sumber hasil tanaman segar yang mampan kepada komuniti sekolah.

 

Enam sistem hidroponik berkuasa solar

Dengan sokongan teknikal berterusan daripada Sunway XFarms, termasuk penyediaan benih, nutrien dan khidmat penyelenggaraan, sistem tersebut direka untuk memberikan manfaat pendidikan dan komuniti dalam jangka panjang, melangkaui tempoh pelaksanaan program.


 

TuneProtect
Pelajar menyertai aktiviti pembelajaran secara praktikal bagi meningkatkan pemahaman mengenai jaminan makanan.


 

Ketua Pegawai Strategi Tune Protect yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian, Koot Chiew Ling berkata, inisiatif Corporate Good yang bermakna seharusnya mewujudkan impak mampan yang melangkaui penglibatan kesukarelawanan jangka pendek.

 

“Grow & Give mencerminkan komitmen kami untuk memperkasa komuniti dengan menggabungkan penyelesaian kelestarian yang praktikal bersama pendidikan dan kesukarelawanan pekerja.

 

“Dengan bekerjasama bersama Sunway XFarms, guru dan pelajar, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar, di samping membantu golongan muda memperoleh pemahaman lebih mendalam mengenai jaminan makanan dan kehidupan mampan,” katanya.

 

Menurut Chiew Ling, Grow & Give bukan sekadar inisiatif kelestarian, sebaliknya merupakan satu pelaburan terhadap generasi masa depan.

 

“Dengan melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal dan kesedaran alam sekitar pada hari ini, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada generasi yang lebih bersedia untuk menangani cabaran masa depan serta membina komuniti yang lebih kukuh dan berdaya tahan,” katanya.

 

Inisiatif itu dibangunkan berlandaskan kejayaan Grow & Give pada 2025 yang memperkukuh usaha jaminan makanan di Pangsapuri Medan Jaya, Petaling Jaya menerusi pemasangan empat sistem pertanian hidroponik berkuasa solar.

 

Sepanjang lapan kitaran penanaman, sistem tersebut menghasilkan lebih 22 kilogram sayur-sayuran segar serta melibatkan lebih 170 sukarelawan dalam kalangan pekerja Tune Protect yang secara keseluruhan menyumbang lebih 1,000 jam kesukarelawanan.


 

TuneProtect
Pelajar menyertai bengkel Farming Made Fun di bawah inisiatif Grow & Give.

 

Pelajar PPKI turut menerima pendedahan

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway XFarms, Mohd Afdhal Mohd Nayan berkata, cara terbaik untuk memupuk masa depan yang lebih mampan adalah dengan memberikan peluang kepada golongan muda untuk mengalaminya sendiri.

 

“Dengan membawa pertanian hidroponik ke sekolah, pelajar dapat melihat sendiri bagaimana kaedah pertanian inovatif menyumbang kepada jaminan makanan, sambil membangunkan kemahiran praktikal yang boleh digunakan di luar bilik darjah.

 

“Menerusi kerjasama kami dengan Tune Protect, kami berharap program ini dapat menggalakkan pelajar mengamalkan tabiat mampan dan menyedari peranan yang boleh dimainkan oleh mereka dalam membina komuniti lebih berdaya tahan,” katanya.


 

TuneProtect

 


Sebagai pelengkap kepada pemasangan sistem hidroponik itu, bengkel Farming Made Fun memperkenalkan pelajar, termasuk murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), kepada pertanian hidroponik dan penanaman mikrohijau menerusi pembelajaran secara praktikal.

 

Pekerja Tune Protect turut membantu dalam aktiviti penuaian, kawalan kualiti dan pembungkusan bagi membantu pelajar memahami dengan lebih baik mengenai pengeluaran makanan secara mampan dan jaminan makanan.

 

Selain pertanian, sukarelawan akan menjalankan aktiviti penambahbaikan sekolah termasuk mengecat semula kawasan terpilih, berkebun, menanam pokok serta menyediakan Sudut 3R yang merangkumi Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula.

 

Usaha itu bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar dan pengurusan sisa secara bertanggungjawab, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih hijau dan menarik.

 

Libatkan kira-kira 180 pekerja Tune Protect

Grow & Give akan dilaksanakan menerusi tiga sesi kesukarelawanan sepanjang 2026 dengan penglibatan kira-kira 180 pekerja Tune Protect bagi menyokong jaminan makanan, tanggungjawab menjaga alam sekitar dan pendidikan generasi muda.


 

TuneProtect
Sukarelawan Tune Protect menuai dan mengasingkan hasil tanaman segar di Sunway XFarms.

 


Menerusi kerjasama berterusan dengan Sunway XFarms, Tune Protect kekal komited untuk mewujudkan penyelesaian praktikal dan mampan yang memperkukuh komuniti, di samping memberikan impak positif dalam jangka panjang.

 

Chiew Ling berkata, berpandukan aspirasi kelestarian syarikat, In Tune for a Better Tomorrow, Grow & Give mencerminkan komitmen Tune Protect untuk mewujudkan nilai berkekalan kepada komuniti yang diberikan perkhidmatan menerusi kesukarelawanan pekerja dan kerjasama bermakna.

 

“Ketika kami terus memperluas inisiatif Corporate Good, kami kekal teguh dengan ikrar yang diperbaharui untuk menyumbang sebanyak 6,000 jam kesukarelawanan antara 2025 hingga 2027,” katanya. - DagangNews.com