Bekas penganalisis bank dipenjara tiga tahun kerana jalankan urus niaga sekuriti tanpa lesen, salah guna gelaran UTC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas penganalisis bank dipenjara tiga tahun kerana jalankan urus niaga sekuriti tanpa lesen, salah guna gelaran UTC

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 Julai - Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap bekas penganalisis bank, Mohd Arif Fadzlee Mohd Arifin selepas didapati bersalah menjalankan aktiviti urus niaga sekuriti tanpa lesen serta menyalahgunakan gelaran Perunding Unit Amanah (UTC).

 

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam satu kenyataan berkata, Mohd Arif Fadzlee sebelum ini didakwa pada 23 Januari 2024 atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 59(1) dan Seksyen 362(3) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

 

Bagi pertuduhan pertama di bawah Seksyen 59(1) CMSA, beliau didakwa kerana memperkenalkan dirinya sebagai wakil CIMB Wealth Advisors Berhad bagi menjalankan aktiviti terkawal urus niaga sekuriti walaupun tidak memiliki Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSRL) yang dikeluarkan SC atau berdaftar sebagai individu yang dibenarkan menjalankan aktiviti tersebut.

 

SC menjelaskan, urus niaga sekuriti merupakan aktiviti terkawal seperti diperuntukkan di bawah Jadual 2 CMSA dan hanya individu yang memiliki lesen daripada SC dibenarkan menjalankan aktiviti berkenaan.

 

Bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 362(3) CMSA, Mohd Arif Fadzlee didakwa kerana menggunakan gelaran Perunding Unit Amanah (UTC) secara tidak sah sehingga menimbulkan kepercayaan bahawa beliau mempunyai lesen untuk menjalankan urus niaga sekuriti sedangkan beliau tidak mempunyai kelayakan berkenaan.

 

Kesalahan tersebut dilakukan di Petaling Jaya dan Nilai pada tahun 2011.

 

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM60,000.

 

Tertuduh Memilih Keterangan Bersumpah

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil 10 saksi termasuk dua mangsa. Pada 27 Februari 2026, Hakim Mahkamah Sesyen, Hamidah Mohamed Deril memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie sebelum mengarahkan tertuduh membela diri.

 

Mohd Arif Fadzlee memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dan tidak memanggil saksi lain bagi menyokong pembelaannya.

 

Penghakiman

Dalam penghakimannya hari ini, mahkamah memutuskan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

 

Beliau kemudian disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan, dengan kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan serentak.

 

Di bawah Seksyen 59(1) CMSA, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

 

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 362(3) CMSA pula, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

 

SC diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Annarina Chacko Jacob bersama Pegawai Pendakwa Mohd Shafiq Azman, Eunice Ong dan Sharifah Noor Effah Syed Ahmad Fuad, manakala Mohd Arif Fadzlee diwakili peguam bela Mohamad Salihen Mastor.

 

Dalam pada itu, SC mengingatkan orang ramai supaya hanya berurusan dengan individu atau entiti yang dilesenkan bagi menjalankan aktiviti terkawal berkaitan pasaran modal termasuk urus niaga sekuriti.

 

Pelabur turut disaran supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan sebarang tawaran pelaburan, khususnya yang menjanjikan pulangan luar biasa tinggi, menerusi kemudahan Investment Checker yang disediakan oleh SC sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. - DagangNews.com