KUALA LUMPUR 23 Julai – AME Real Estate Investment Trust memperluas strategi pertumbuhan aset industrinya menerusi pembelian tiga lot tanah industri pegangan bebas di i-Park @ Senai Airport City, Johor bernilai RM50.2 juta.
Pembelian itu melibatkan tiga lot tanah industri seluas 8.87 ekar (3.59 hektar) yang diuruskan oleh RHB Trustees Bhd bagi pihak AME REIT.
Ia menjadi pembelian aset pertama AME REIT daripada pemilik luar, berbeza dengan sebelum ini apabila kebanyakan aset diperoleh daripada syarikat penajanya, AME Elite Consortium Bhd.
Sejak disenaraikan di Bursa Malaysia pada 20 September 2022, AME REIT telah melengkapkan pembelian aset bernilai RM289.5 juta daripada kumpulan penajanya.
Langkah terbaharu itu dilihat sebagai usaha AME REIT memanfaatkan peningkatan permintaan terhadap ruang industri berkualiti tinggi di Johor, khususnya susulan perkembangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
JS-SEZ dijangka menjadi pemangkin kepada kemasukan lebih banyak pelaburan baharu ke Johor, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap kemudahan industri moden untuk menyokong operasi syarikat tempatan dan antarabangsa.
Kembangkan Kehadiran Di Hab Industri Senai
Pengambilalihan tersebut turut mengukuhkan kedudukan AME REIT di i-Park @ Senai Airport City, yang kini menyumbang 48.6% daripada nilai keseluruhan portfolio dana berkenaan selepas aset AME REIT melepasi paras RM1 bilion.
Menerusi pembelian tanah baharu itu, AME REIT merancang membangunkan tiga fasiliti industri berasingan melalui konsep bina-dan-sewa yang membolehkan ruang tersebut disesuaikan mengikut keperluan penyewa.
Konsep berkenaan membolehkan AME REIT membina aset industri yang menepati permintaan pasaran, berbanding hanya bergantung kepada pembelian bangunan siap dalam keadaan pulangan pemerolehan semakin terhad.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif I REIT Managers Sdn Bhd, Chan Wai Leo berkata, strategi itu membolehkan pihaknya menghasilkan jenis aset industri yang semakin diperlukan pasaran.
"Strategi ini membolehkan kami membina aset industri yang menepati permintaan pasaran dan mengurangkan kebergantungan kepada pembelian aset siap yang kini menawarkan pulangan semakin terhad," katanya.
Peluang Pertumbuhan Jangka Panjang
Menurut beliau, lokasi tanah tersebut turut menawarkan kelebihan kerana mempunyai infrastruktur sedia ada yang membolehkan syarikat penyewa mengurangkan tempoh pembangunan tapak operasi mereka.
Selain itu, transaksi berkenaan menawarkan nilai tambah kepada AME REIT apabila pembelian tersebut dibuat pada harga 5.2% lebih rendah berbanding nilai pasaran yang dinilai oleh jurunilai bebas.
Selepas memenuhi syarat dipersetujui termasuk urusan pentadbiran dan kelulusan kawal selia, pengurus AME REIT juga layak menerima rebat daripada penjual yang akan mengurangkan lagi kos pemerolehan sebenar.
Pembelian tanah serta pembangunan fasiliti industri selepas itu akan dibiayai menerusi gabungan kemudahan pembiayaan Islamik dan dana dalaman yang dijana daripada operasi AME REIT.
Transaksi tersebut dijangka selesai pada suku keempat 2026, sekali gus membuka ruang kepada AME REIT untuk memperluas sumber pendapatan sewaan pada masa hadapan.
Pada masa ini, portfolio AME REIT terdiri daripada 41 aset industri dan berkaitan industri yang semuanya terletak di kawasan Iskandar Malaysia, Johor. - DagangNews.com








