Malacca Securities: Kontrak pusat data baharu diraih EITA di Johor berpotensi catat untung bersih RM2.5 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malacca Securities: Kontrak pusat data baharu diraih EITA di Johor berpotensi catat untung bersih RM2.5 juta

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 8 JunEITA Resources Berhad dijangka meraih tambahan keuntungan bersih sehingga RM2.5 juta selepas memperoleh kontrak pusat data (DC) baharu yang bernilai RM40.9 juta di Johor.

 

Menurut analisis Malacca Securities, perkembangan positif tersebut sekali gus bakal mengukuhkan lagi kedudukannya dalam projek segmen infrastruktur DC yang semakin pesat berkembang di Malaysia.


Kontrak itu bukan sahaja menyumbang secara langsung kepada pendapatan tahun kewangan 2026 (FY26), malah menyediakan sokongan volum yang penting kepada perniagaan sistem 'busduct' kumpulan itu.


"Tender ini melibatkan pembekalan dan penghantaran sistem 'busduct' untuk sebuah projek DC di Johor dengan tempoh pelaksanaan yang pantas antara Mei 2026 hingga September 2026," jelasnya dalam nota.


Malacca Securities berpandangan kontrak itu amat signifikan kerana membantu bagi memperkukuh segmen 'busduct' di bawah bahagian pembuatan yang sebelum ini menunjukkan prestasi agak kurang cemerlang.


Di samping itu ujar firma penyelidikan tersebut, kemenangan kontrak berkenaan dilihat sebagai akan mengukuhkan kehadiran EITA sendiri dalam rantaian pembangunan pelbagai projek DC di sekitar Johor.

 

Artikel berkaitan: EITA Resources menang kontrak RM40.9 juta bekal sistem pengagihan kuasa pusat data di Johor


 

EITA_DagangNews2026



Tempoh pelaksanaan selama lima bulan membolehkan hasil projek diterjemahkan kepada pendapatan dalam masa singkat, sekali gus dijangka memberi sumbangan besar kepada prestasi suku keempat FY26.


"Berdasarkan andaian margin keuntungan bersih konservatif antara 5% hingga 6%, projek baharu ini dianggarkan menjana RM2 juta hingga RM2.5 juta kepada keuntungan bersih," kata Malacca Securities.


Bagaimanapun, firma berkenaan masih lagi mengekalkan unjuran pendapatan EITA bagi FY26 memandangkan kontrak itu sudah dimasukkan dalam jangkaan pengisian semula buku tempahan semasa.


Sehubungan itu, ia menaik taraf saranan terhadap saham kumpulan tersebut daripada 'pegang' kepada 'beli' dengan harga sasaran (TP) untuk 12 bulan akan datang yang dikekalkan pada 52 sen sesaham.


Ujar Malacca Securities, peningkatan saranan itu selepas harga saham syarikat menyusut sebelum pengumuman kontrak berkenaan, sekali gus menjadikan penilaiannya lebih menarik kepada pelabur.


"TP dikekalkan adalah berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 10 kali ganda yang disandarkan kepada unjuran pendapatan sesaham pertengahan FY27 sebanyak 5.19 sen." katanya. - DagangNews.com