PETRONAS mohon petisyen isu perlembagaan operasi di Sarawak didengar berasingan daripada kes kerajaan negeri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS mohon petisyen isu perlembagaan operasi di Sarawak didengar berasingan daripada kes kerajaan negeri

KUALA LUMPUR 8 Jun - Petroliam Nasional Bhd. (PETRONAS) memohon supaya petisyen berhubung isu perlembagaan berkaitan operasinya di Sarawak didengar secara berasingan daripada petisyen yang difailkan oleh kerajaan negeri Sarawak di Mahkamah Persekutuan.

 

The Edge melaporkan, berdasarkan dokumen mahkamah yang difailkan pada 26 Mei melalui firma guaman Mohd Hanafiah Zakari, PETRONAS turut memohon untuk meminda petisyennya bagi menjelaskan syarikat itu tidak lagi berhasrat menggabungkan kes berkenaan dengan petisyen kerajaan Sarawak.

 

Jika permohonan tersebut dibenarkan, PETRONAS akan diberikan tempoh tujuh hari untuk menyerahkan petisyen yang dipinda kepada kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan yang dinamakan sebagai responden dalam kes berkenaan.

 

Kedua-dua responden juga akan dibenarkan meminda pembelaan masing-masing mengikut keperluan.

 

Pada Isnin, pengurusan kes dijalankan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Azaraorni Abd Rahman, bersama-sama petisyen kerajaan Sarawak bagi membolehkan mahkamah menetapkan tarikh pendengaran.

 

PETRONAS sebelum ini memfailkan petisyen tersebut pada April lalu bagi mendapatkan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung beberapa persoalan perlembagaan dalam bidang kuasa asal mahkamah itu selepas memperoleh kebenaran daripada Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah pada 16 Mac 2026.

 

Pada peringkat awal, syarikat minyak nasional itu bercadang supaya petisyennya didengar bersama-sama petisyen kerajaan Sarawak memandangkan kerajaan negeri tidak memerlukan kebenaran mahkamah untuk merujuk persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan.

 

PETRONAS telah memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran pada Januari lalu bagi mencabar ketidakselarasan antara Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) dan Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016 (DGO), selain beberapa isu lain yang berkaitan.

 

Menurut syarikat itu, tindakan berkenaan bertujuan memastikan operasinya terus mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa serta amalan tadbir urus yang baik susulan pertindihan antara peruntukan undang-undang Persekutuan dan negeri Sarawak.

 

Peguam utama PETRONAS, Datuk Dr Cyrus Das sebelum ini berkata syarikat itu akan memfailkan petisyen dalam tempoh 21 hari selepas memperoleh kebenaran mahkamah dan akan memohon supaya kes tersebut didengar oleh panel penuh Mahkamah Persekutuan.

 

“Panel penuh mahkamah tertinggi boleh terdiri daripada tiga, lima atau lebih hakim,” katanya selepas prosiding pada Mac lalu.

 

 

 

 

 

 

 

Perkembangan terbaharu itu berlaku lebih seminggu selepas sebuah pertubuhan berpangkalan di Sabah, Registered Trustees of Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR), memohon untuk mencelah dalam petisyen yang difailkan kerajaan Sarawak pada 18 Mei lalu.

 

Kes berkenaan dilihat berpotensi memberi implikasi besar terhadap landskap perundangan dan kawal selia industri minyak dan gas negara, khususnya melibatkan bidang kuasa antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Sarawak dan PETRONAS dalam pengurusan sumber petroleum dan gas asli. - DagangNews.com