KUALA LUMPUR 8 Jun – Prospek Mah Sing Group Bhd kekal positif disokong oleh keterlihatan pendapatan yang kukuh, dipacu oleh jualan belum diiktiraf berjumlah RM3.3 bilion setakat 31 Mac 2026 serta kekuatan segmen rumah mampu milik di bawah siri “M Series”.
Menurut penganalisis, prestasi syarikat itu bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1Q26) adalah selaras dengan jangkaan pasaran yang mengekalkan keyakinan terhadap trajektori pertumbuhan syarikat.
Harga saham syarikat ketika ini berada sekitar 99 sen, namun penganalisis melihat potensi kenaikan disokong oleh asas perniagaan yang stabil serta portfolio pembangunan yang besar.
Kenanga Research mengekalkan saranan “market outperform” ke atas saham tersebut dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.82 daripada RM1.78 sebelum ini.
Firma penyelidikan itu menyatakan rancangan Mah Sing untuk mewujudkan usaha sama (JV) bagi memajukan tanah miliknya untuk pembangunan pusat data dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan baharu jangka sederhana.
“Dalam masa sama, kekuatan syarikat turut disokong oleh strategi pembangunan rumah mampu milik serta pengurusan bank tanah yang berkesan dan tersusun,” kata Kenanga dalam nota kajiannya.
Setakat ini, bank tanah Mah Sing Group Bhd berkeluasan 1,086 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM29.9 bilion yang memberi keterlihatan pendapatan jangka panjang yang kukuh.

Sementara itu, BIMB Research turut mengekalkan saranan “Beli” dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.85 dengan potensi pemangkin datang daripada MS Industrial Park @ Kulai, pembangunan semula premium Hotel Corus di Kuala Lumpur serta potensi projek pusat data pada tanah sedia ada.
Syarikat itu sebelum ini membeli Hotel Corus di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada harga RM260 juta yang dilihat sebagai aset strategik bagi pembangunan semula pada masa hadapan.
Dari sudut kewangan, BIMB Research berkata Mah Sing mempunyai asas kukuh dengan tunai sekitar RM1 bilion serta nisbah gearing bersih rendah pada 0.39 kali, memberi ruang untuk pengembangan projek baharu tanpa menjejaskan dividen.
Dalam pada itu, CIMB Research mengambil pendekatan lebih berhati-hati dengan mengekalkan saranan “Beli” tetapi menyemak turun harga sasaran kepada RM1.55 daripada RM1.73 sebelum ini.
Semakan itu dibuat selepas mengambil kira peningkatan kos bahan binaan seperti diesel serta ketidaktentuan geopolitik global, khususnya konflik di Timur Tengah yang memberi tekanan kepada kos projek pembinaan.
CIMB Research turut menyemak turun unjuran keuntungan bersih teras bagi tahun kewangan berakhir 2026 hingga 2028 masing-masing kepada RM265 juta, RM275 juta dan RM295 juta, iaitu penurunan sekitar 4% hingga 6%.
Namun, CIMB masih melihat saham Mah Sing Group Bhd diniagakan pada tahap diskaun ketara berbanding nilai aset bersih disokong hasil jualan belum diiktiraf yang kukuh serta hasil dividen menarik sekitar 5.3% bagi tempoh FY26 hingga FY27.
“Walaupun terdapat tekanan kos dan ketidaktentuan ekonomi global, Mah Sing kekal mempunyai asas perniagaan yang kukuh dengan sokongan projek perumahan mampu milik, pembangunan industri serta inisiatif baharu dalam segmen pusat data,” katanya. - DagangNews.com








