KUALA LUMPUR 25 Feb – Velesto Energy Berhad melalui anak syarikatnya, Velesto Drilling Sdn. Bhd memperoleh kontrak bernilai AS$16.5 juta daripada Jadestone Energy (Malaysia) Pte Ltd bagi penyediaan pelantar penggerudian jenis ‘jack-up’ untuk projek di East Belumut.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata, kontrak tersebut melibatkan pelantar penggerudian NAGA 8 milik Velesto Drilling dan dijangka berlangsung selama empat bulan, bermula Mac 2026 hingga Julai 2026.
“Velesto Energy menyasarkan kontrak jangka pendek seperti ini sebagai sumber pendapatan tambahan serta peluang untuk mengekalkan operasi pelantar gerudi dengan tahap kecekapan tinggi dan pengalaman teknikal yang mantap.
“Kontrak baharu ini dijangka memberi pengalaman operasi tambahan kepada VED serta memperkukuh reputasi syarikat sebagai pembekal pelantar gerudi yang dipercayai oleh pemain utama industri minyak dan gas di rantau ini,” katanya.
Dalam makluman berasingan pula, Velesto melaporkan prestasi kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dengan hasil sebanyak RM898.57 juta menyusut 34% berbanding RM1.36 bilion pada tahun sebelumnya.
“Penurunan ini didorong oleh penggunaan pelantar gerudi yang lebih rendah serta selesainya projek i-RDC pada Oktober 2024, yang sebelum ini menyumbang sebahagian besar pendapatan syarikat.
“Syarikat merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM235.71 juta bagi FY25, menurun daripada RM267.03 juta pada FY24. Keuntungan bersih selepas cukai pula berjumlah RM202.18 juta, sedikit menurun berbanding RM207.71 juta pada tahun sebelumnya.
“Pendapatan per saham bagi tahun kewangan 2025 adalah 2.46 sen berbanding 2.53 sen pada 2024,” katanya dalam makluman itu.
Bagi suku keempat 2025, Velesto mencatatkan hasil RM233.88 juta dan keuntungan sebelum cukai RM42.64 juta, masing-masing menurun berbanding suku sama tahun sebelumnya.
Segmen utama syarikat iaitu perkhidmatan penggerudian menyumbang RM882.11 juta kepada hasil tahunan, turun daripada RM1.35 bilion pada FY24 ekoran kadar penggunaan yang merosot kepada 72 peratus berbanding 87 peratus pada tahun sebelumnya serta kadar sewa harian yang lebih rendah.
Velesto juga menamatkan beberapa transaksi korporat sepanjang 2025, termasuk pengurangan modal sebanyak RM1.2 bilion serta penjualan NAGA 3 dan Velesto Workover Sdn Bhd. Langkah ini bertujuan meningkatkan kecekapan operasi dan menumpukan kepada pelantar gerudi yang lebih kompetitif dari segi teknikal.
Syarikat mengekalkan aliran tunai operasi positif sebanyak RM407.9 juta bagi FY25, meskipun tunai akhir berkurangan kepada RM214.25 juta daripada RM247.52 juta pada tahun sebelumnya. Penurunan ini dipengaruhi oleh pembayaran dividen, pelaburan modal, dan penurunan nilai tukaran asing bagi aset harta, loji dan peralatan.
Bagi 2026, Velesto optimis secara berhati-hati dengan prospek pasaran. Buku tempahan syarikat setakat Februari 2026 berjumlah RM1.3 bilion dan menjangkakan penggunaan pelantar global berada pada 82 peratus.- DagangNews.com








