ZTE dan TNB perluas kerjasama teknologi utiliti pintar sokong peralihan tenaga negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ZTE dan TNB perluas kerjasama teknologi utiliti pintar sokong peralihan tenaga negara

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Jun – ZTE Corporation memperkukuh kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi pelaksanaan aktiviti penilaian teknologi berkaitan sistem komunikasi pemeteran pintar dalam usaha menyokong pendigitalan utiliti dan peralihan tenaga negara.

 

Syarikat penyedia teknologi komunikasi dan infrastruktur digital global itu berkata, aktiviti berkenaan memberi penilaian penting terhadap prestasi, kebolehpercayaan serta kesesuaian teknologi tersebut dalam persekitaran operasi utiliti sebenar.

 

Menurut ZTE, kerjasama itu mencerminkan peranan yang semakin penting teknologi komunikasi moden dalam menyokong pembangunan meter pintar serta pendigitalan grid tenaga secara lebih meluas.

 

Kerjasama berkenaan turut dilihat selari dengan usaha transformasi digital utiliti yang sedang dilaksanakan TNB termasuk meningkatkan keupayaan pemantauan masa nyata, kecekapan operasi, ketelusan pengurusan utiliti serta keterlihatan prestasi rangkaian tenaga secara lebih pintar dan menyeluruh.

 

Pada Persidangan Peralihan Tenaga TNB baru-baru ini, ZTE turut mempamerkan pelbagai teknologi berkaitan utiliti digital, kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur pintar yang boleh membantu memperkukuh sistem grid tenaga moden.

 

Antara teknologi dipamerkan termasuk penyelesaian utiliti digital yang menyokong komunikasi grid pintar, platform dipacu AI untuk meningkatkan kecekapan operasi serta teknologi sambungan grid bersepadu bagi memastikan komunikasi utiliti lebih selamat, stabil dan berdaya tahan.

 

Selain itu, syarikat itu turut memperkenalkan inovasi tenaga pintar yang menggunakan AI bagi membantu pengoptimuman tenaga, ramalan penggunaan serta inisiatif kelestarian tenaga.

 

t

 

Turut dipamerkan ialah rangkaian optik generasi baharu yang menyediakan sambungan berkapasiti tinggi dan selamat bagi menyokong pembangunan infrastruktur utiliti digital termasuk komunikasi kawasan luas untuk operasi utiliti kritikal.

 

Secara keseluruhan, teknologi dipamerkan menunjukkan bagaimana infrastruktur digital pintar dapat membantu syarikat utiliti meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh ketahanan grid, menambah baik pengurusan tenaga serta menyokong keperluan tenaga masa depan.

 

Pengarah Urusan ZTE Malaysia, Liu Bang berkata teknologi dipamerkan menunjukkan bagaimana platform dipacu AI, sambungan pintar dan rangkaian optik mampu menyokong pembangunan utiliti digital serta grid pintar pada masa depan.

 

Beliau berkata, melalui kerjasama bersama TNB dalam beberapa inisiatif teknologi terpilih, ZTE akan terus menyumbang kepakaran dan keupayaan inovasinya bagi menyokong agenda pendigitalan utiliti negara.

 

Menurut beliau, syarikat itu juga komited membantu aspirasi Malaysia dalam menjayakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menerusi pembangunan teknologi utiliti pintar yang lebih cekap, berskala besar dan berdaya tahan.

 

“Teknologi tersebut dijangka dapat menyokong aspirasi Infrastruktur Pemeteran Lanjutan (AMI) TNB selain membolehkan pelaksanaan aplikasi tenaga pintar seperti integrasi solar bumbung, mengoptimumkan pengecasan kenderaan elektrik serta pengurusan penggunaan tenaga untuk isi rumah dan perniagaan.

 

“Kesiapsiagaan pasukan penghantaran dan sokongan teknikal tempatan bersama rakan ekosistem kami akan membantu pelaksanaan inisiatif pendigitalan utiliti jangka panjang di Malaysia, selain turut mempamerkan beberapa peranti permainan mudah alih termasuk nubia Neo 5 GT 5G dan REDMAGIC 11 Pro sebagai sebahagian daripada inovasi teknologi syarikat,” katanya. - DagangNews.com