Liftech sasar kutip RM23 juta di Pasaran ACE, tawar IPO 29 sen libatkan 95 juta saham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Liftech sasar kutip RM23 juta di Pasaran ACE, tawar IPO 29 sen libatkan 95 juta saham

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 8 JunLiftech Group Berhad menyasarkan untuk mengumpul dana RM23 juta melalui pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) bersempena penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Kumpulan peralatan pengendalian industri itu dalam dalam makluman kepada bursa berkata, penerbitan IPO tersebut melibatkan jumlah keseluruhan 95,034,000 saham pada harga tawaran 29 sen sesaham.


Jumlah berkenaan merangkumi terbitan awam sebanyak 79,234,000 saham baharu dan tawaran untuk jualan sejumlah 15,800,000 saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur yang terpilih.


"Daripada bilangan saham yang baharu itu, sebanyak 15.8 juta unit diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, manakala 7.2 juta unit disediakan untuk pengarah dan kakitangan tertentu," kata Liftech.


Selebihnya, sebanyak 39.4 juta saham diperuntukkan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh kerajaan (MITI), sementara 16.8 juta lagi untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.


Mengenai penggunaan dana RM23.0 juta tersebut, kumpulan itu merancang memperuntukkan sebahagian besar, iaitu sebanyak RM13.75 juta atau kira-kira 59.8%, bagi pembayaran balik pinjaman bank.


Dana berkenaan jelas Liftech bakal digunakan syarikat untuk pembiayaan fasiliti baharu di Bukit Minyak, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, Sabah serta pembesaran kilang sedia ada di Taiping, Perak.


 

Liftech_DagangNews2026




"Langkah ini dijangka memberikan penjimatan faedah tahunan sebanyak RM0.6 juta, manakala baki dana selebihnya akan digunakan untuk pembelian mesin dan peralatan baharu," jelas kumpulan tersebut.


Selain itu ujar Liftech, perbelanjaan modal untuk pengubahsuaian ruang pejabat dan fasiliti (RM1.01 juta), modal kerja am (RM2.0 juta), serta menampung anggaran kos penyenaraian (RM4.5 juta).


Kumpulan itu, yang mempunyai sejarah operasi selama 34 tahun, aktif terlibat dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan, dan pentauliahan peralatan mengangkat industri di bawah jenama 'Liftech'.


Permohonan bagi saham IPO berkenaan kata syarikat tersebut sudah dibuka kepada orang awam bermula pukul 10 pagi pada 8 Jun 2026 dan akan ditutup secara rasmi pada pukul 5 petang, pada 16 Jun 2026.


"Sekiranya tiada sebarang masalah, syarikat ini dijangka disenaraikan secara rasmi di Pasaran ACE pada 30 Jun 2026 dengan anggaran permodalan pasaran sebanyak RM91.3 juta," tambah kumpulan itu.


M&A Securities Sdn Bhd dilantik syarikat tersebut untuk bertindak sebagai penasihat, penaja, penjamin, dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO berkenaan. - DagangNews.com