KUALA LUMPUR 8 Jun – Terengganu sekali lagi menjadi tumpuan peminat motosikal berkuasa tinggi dari seluruh dunia menerusi penganjuran Terengganu International Bike Week (TIBW) 2026 yang dijangka berlangsung dengan lebih meriah dan berskala besar pada 24 hingga 28 Jun ini di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.
Acara yang memasuki edisi ke-13 itu dijangka menghimpunkan lebih 90,000 pengunjung termasuk ribuan penunggang motosikal berkuasa tinggi dari dalam dan luar negara dalam suasana penuh warna-warni yang dihiasi pelbagai aktiviti gaya hidup permotoran.
TIBW 2026 bukan sekadar acara himpunan motosikal, malah sudah berkembang menjadi satu acara pelancongan sukan motosikal yang dinanti-nantikan peminat dua roda setiap tahun, khususnya dalam kalangan komuniti superbike antarabangsa.
Sepanjang lima hari penganjuran, Dataran Shahbandar akan dipenuhi deruman enjin motosikal berkuasa tinggi, pameran motosikal eksklusif, pertunjukan stunt, konvoi mega, persembahan artis, jualan aksesori premium serta pelbagai aktiviti santai yang menghimpunkan komuniti permotoran dari pelbagai negara.
Lebih menarik, kehadiran ribuan peserta antarabangsa dijangka menjadikan Kuala Terengganu sebagai “lautan superbike” apabila konvoi motosikal premium dari Thailand, Singapura, Brunei, Indonesia, Jepun dan Amerika Syarikat bakal memenuhi jalan-jalan utama bandar raya itu sepanjang acara berlangsung.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan negeri menyifatkan TIBW sebagai platform penting dalam merancakkan industri pelancongan dan ekonomi negeri menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 serta Tahun Melawat Terengganu 2027.
Menurut beliau, impak ekonomi daripada acara tersebut dijangka memberi limpahan besar kepada sektor hotel, homestay, restoran, pengangkutan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta peniaga tempatan sepanjang tempoh penganjuran berlangsung.
ARTIKEL BERKAITAN: Terengganu bakal dibanjiri 200,000 peminat RXZ dengan hadiah RM500,000 jadi rebutan
Katanya, kehadiran puluhan ribu pengunjung itu turut membuka peluang besar kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada pelancong domestik serta antarabangsa.
“TIBW bukan sahaja mengumpulkan komuniti motosikal berkuasa tinggi, tetapi menjadi pemangkin ekonomi pelancongan negeri yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dan peniaga tempatan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran TIBW 2026.


Turut hadir Pengasas East Coast Motorcycle Club (ECMC), Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu, Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman.
Menurut Razali, lebih 15,000 pemilik motosikal berkuasa tinggi dijangka menyertai himpunan berprestij itu sama ada secara rasmi atau hadir bersama komuniti masing-masing sepanjang acara berlangsung.
Penyertaan antarabangsa pula dijangka terus meningkat apabila hampir 300 penunggang motosikal dari luar negara sudah menyatakan komitmen untuk hadir bagi memeriahkan festival permotoran terbesar di Pantai Timur tersebut.
Selain menjadi medan perhimpunan komuniti superbike, TIBW 2026 turut dilihat sebagai platform memperkenalkan keunikan budaya, makanan tradisional dan keindahan alam semula jadi Terengganu kepada pengunjung luar. - DagangNews.com








