KUALA LUMPUR 23 Julai – Tiga pengarah syarikat berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen George Town, Pulau Pinang membabitkan dakwaan membuat gambaran mengelirukan berkaitan halal di bawah Perintah Perihal Dagangan (Pensijilan dan Penandaan Halal) 2011.
Kes berkenaan melibatkan dakwaan penggunaan logo halal serta paparan istilah berkaitan halal yang boleh menyebabkan orang ramai mempercayai sesuatu produk atau premis mempunyai pengesahan halal walaupun tidak mempunyai pensijilan daripada pihak berkuasa berkaitan.
Restoran Didenda Papar Istilah “Muslim Friendly”
Dalam kes pertama, pengusaha restoran Robert Khoo Keat Hoe, 53 dan syarikatnya Laksamana (X) Sdn Bhd mengaku bersalah kerana mempamerkan perkataan “Muslim Friendly” dan “Muslim Friendly Cafe” pada papan tanda di premis mereka di Lebuh Chulia pada 24 September tahun lalu.
Pihak pendakwaan berkata, paparan tersebut boleh mengelirukan orang ramai dengan memberi gambaran bahawa makanan yang disediakan adalah halal atau sesuai untuk pengguna Islam walaupun tidak mempunyai pensijilan daripada pihak berkuasa berkaitan.
Ketika rayuan hukuman, peguam Robert, Suzzanne Tan, memaklumkan anak guamnya tersilap memahami keperluan berkaitan penggunaan istilah tersebut dan kesalahan itu berlaku secara tidak sengaja.
Hakim Mahkamah Sesyen, Irwan Suainbon, kemudian menjatuhkan denda RM10,000 terhadap Robert, manakala Laksamana (X) Sdn Bhd dikenakan denda RM20,000.
Restoran Mi Didenda Pamer “Halal Kitchen”
Sementara itu, Sia Khai Jun, 24 dan Silk Road Lanzhou Beef Noodles Sdn Bhd turut mengaku bersalah kerana mempamerkan empat buku menu yang mengandungi frasa bahasa Arab yang membawa maksud “halal kitchen” tanpa pensijilan halal.
Kesalahan itu didakwa berlaku di restoran syarikat tersebut di Taman Pauh Jaya, Permatang Pauh pada 23 September tahun lalu.
Mahkamah menjatuhkan denda RM10,000 terhadap Sia, manakala Silk Road Lanzhou Beef Noodles Sdn Bhd dikenakan denda RM20,000.
Jika gagal membayar denda, Sia berdepan hukuman penjara selama 10 bulan, manakala syarikat berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara selama 15 bulan.
Syarikat Didakwa Guna Logo Halal Tanpa Pensijilan
Dalam kes berasingan, pengarah SAG 7 International Sdn Bhd, Abdul Samad Ayob, 51 dan syarikatnya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menggunakan logo halal pada enam produk tanpa mempunyai pensijilan halal.
Abdul Samad didakwa mempamerkan logo halal tersebut di premis syarikatnya di Bukit Minyak Industrial Park, Simpang Ampat, kira-kira jam 11 pagi pada 14 Januari tahun ini.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Perenggan 8(a) Perintah Perihal Dagangan (Pensijilan dan Penandaan Halal) 2011, yang memperuntukkan denda sehingga RM200,000 bagi kesalahan pertama oleh badan korporat jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah menetapkan 27 Ogos depan untuk sebutan semula kes Abdul Samad dan SAG 7 International Sdn Bhd di hadapan Hakim Irwan.
Kesemua pendakwaan itu dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd Hilmi Abu Hassan. - DagangNews.com








