KUALA LUMPUR 8 Jun - Prospek pertumbuhan Cheeding Holdings Bhd. (Cheeding) dilihat semakin kukuh disokong peningkatan ketara buku tender kepada RM431 juta selain peluang besar daripada projek infrastruktur 500kV yang dianggarkan bernilai RM10 bilion, menurut Kenanga Research.
Firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan “Outperform” terhadap saham syarikat itu dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM0.79 sesaham selepas mengambil kira daya tahan pendapatan dan prospek pertumbuhan yang lebih positif.
Buku tempahan semasa Cheeding berjumlah RM164 juta dengan sehingga 70% daripadanya dijadualkan untuk diiktiraf dalam tahun kewangan 2027 (FY27).
Lebih menarik, buku tender syarikat itu kini meningkat kepada RM431 juta berbanding RM303 juta yang direkodkan sebelum ini, dengan majoriti kontrak dijangka dianugerahkan pada suku ketiga dan keempat tahun kalendar 2026.
"Perkembangan itu dijangka memberi pengisian semula buku pesanan yang signifikan kepada kumpulan," kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Projek Infrastruktur 500kV
Menurut pihak pengurusan, antara pemangkin utama pertumbuhan jangka panjang adalah projek infrastruktur 500kV yang melibatkan jajaran kira-kira 1,000 kilometer dari Terengganu ke Johor dengan sasaran siap menjelang 2030.
“Berdasarkan anggaran kos sekitar RM10 juta bagi setiap kilometer, projek ini mewakili peluang kontrak bernilai kira-kira RM10 bilion.
“Dengan hanya empat syarikat yang layak dari segi kewangan untuk membida projek tersebut termasuk Cheeding, kumpulan berada dalam kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada projek berkenaan,” menurut nota penyelidikan.
Firma penyelidikan itu turut melihat prestasi margin syarikat kekal kukuh selepas margin keuntungan bersih teras (CNP) meningkat kepada 36% pada FY26 berbanding purata tiga tahun sebanyak 28%.
Peningkatan tersebut didorong oleh pengiktirafan Variation Order (VO) bernilai RM4 juta bagi projek penghantaran di Kedah serta penjimatan kos daripada projek talian atas (OH) Air Tawar dan Kampung Gajah.
Pada masa sama, syarikat tidak terkesan dengan kenaikan kos bahan mentah berikutan strategi pembelian awal yang membolehkan harga dikunci lebih awal dengan pembekal.
Segmen EPCC
Kenanga Research turut melihat penyertaan Cheeding dalam segmen pencawang EPCC sebagai satu lagi pemacu pertumbuhan baharu.
Syarikat kini sedang mendapatkan kelayakan rasmi daripada Tenaga Nasional Bhd. (TNB) untuk melaksanakan kerja-kerja EPCC pencawang dan telah bekerjasama dengan Orasco Engineering bagi membida projek dalam segmen tersebut.
Kerjasama itu berjaya memperoleh projek pencawang Genting Sempah bernilai RM13 juta dengan CHEEDING memegang kepentingan sebanyak 60%. Projek berkenaan dijadualkan siap pada Jun 2027, namun berpotensi diselesaikan lebih awal daripada jadual. - DagangNews.com








