KUALA LUMPUR 8 Jun – Syarikat yang baru disenaraikan di Pasaran ACE pada 23 April 2026, AMS Advanced Material Berhad mencatatkan pendapatan RM33.57 juta bagi suku kedua berakhir 31 Mac 2026.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata, hasil itu menunjukkan penurunan kira-kira 3.8% berbanding suku pertama FY26 yang berakhir pada 31 Disember 2025 iaitu RM34.89 juta.
Kemerosotan itu dipengaruhi oleh beberapa faktor utama antaranya berlaku kelewatan atau penundaan permintaan sebanyak RM3.3 juta dalam segmen aeroangkasa akibat kesan konflik di Timur Tengah.
"Di samping itu, ketiadaan jualan dalam segmen marin sepanjang suku semasa turut menyumbang kepada pengurangan perolehan kumpulan mencecah sebanyak RM2.1 juta," tambah AMS Advanced.
Bagaimanapun jelas syarikat itu, penurunan ini sebahagian besarnya diimbangi oleh peningkatan hasil daripada segmen semikonduktor dan sokongan kejuruteraan (ESI) yang mencatatkan sebanyak RM3.2 juta.
Pada masa sama ujarnya, segmen semikonduktor itu dikenal pasti masih kekal sebagai penyumbang utama syarikat dengan merangkumi 56.9% daripada jumlah keseluruhan hasil bagi tempoh tiga bulan tersebut.

Justeru, AMS Advanced mencatatkan keuntungan bersih RM2.32 juta bagi 23FY26, namun menurun 17.9% berbanding suku sebelumnya (RM2.82 juta) disebabkan masalah gangguan pada segmen aeroangkasa.
"Keuntungan sebelum cukai (PBT) adalah RM2.79 juta, dan bagi tempoh kumulatif enam bulan berakhir 31 Mac 2026, keuntungan bersih keseluruhan RM5.14 juta daripada hasil RM68.47 juta," katanya.
Lembaga pengarah kumpulan berkenaan jelas kenyataan tersebut, turut mengumumkan dividen interim satu peringkat sebanyak 0.4 sen sesaham bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 September 2026.
Melangkah ke hadapan, AMS Advenced tetap yakin terhadap prospek pertumbuhannya memandangkan jualan semikonduktor global diunjurkan mencecah AS$1 trilion (kira-kira RM4.07 trilion) pada tahun 2026.
Syarikat kini dalam proses meningkatkan kapasiti pengeluaran di Pulau Pinang menerusi pengenalan syif kedua dan penubuhan kemudahan gudang bagi menyokong permintaan pelanggan. - DagangNews.com








