Vantris Energy keluar dari status PN17 selepas hampir empat tahun melalui proses pemulihan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vantris Energy keluar dari status PN17 selepas hampir empat tahun melalui proses pemulihan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Jun – Vantris Energy Bhd secara rasmi keluar daripada kategori syarikat bermasalah kewangan di bawah Amalan Nota 17 (PN17) Bursa Malaysia hari ini, menandakan berakhirnya tempoh hampir empat tahun syarikat itu melalui proses pemulihan dan penstrukturan semula.

 

Syarikat yang sebelum ini dikenali sebagai Sapura Energy Bhd itu berkata, Bursa Malaysia telah meluluskan permohonannya untuk keluar daripada kategori PN17 selepas memenuhi semua syarat yang ditetapkan.

 

Kelulusan tersebut diperoleh susulan prestasi kewangan yang semakin bertambah baik, termasuk merekodkan keuntungan bersih bagi dua suku berturut-turut.

 

Vantris disenaraikan sebagai syarikat PN17 pada Mac 2022 selepas berdepan masalah kewangan yang berpunca daripada kejatuhan harga minyak mentah sejak 2015 yang menjejaskan operasi dan kedudukan kewangannya.

 

Sepanjang tempoh itu, syarikat berdepan pelbagai cabaran termasuk kerugian daripada beberapa projek, tahap keberhutangan yang tinggi dan aliran tunai yang terhad.

 

Bagi mengukuhkan semula kedudukan kewangan, syarikat pernah mengumpulkan dana sebanyak RM4 bilion menerusi pelaksanaan terbitan hak dan saham keutamaan boleh tukar boleh tebus Islam (Islamic Redeemable Convertible Preference Shares, RCPS-i) pada 2018.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Vantris Energy kembali catat untung bersih RM145.8 juta bagi 1QFY27 didorong kos kewangan lebih rendah

 

Namun, langkah tersebut masih tidak cukup untuk mengembalikan syarikat ke landasan pertumbuhan, sekali gus memerlukan pelan penstrukturan semula yang lebih menyeluruh.

 

Tahun lalu, Vantris mengambil langkah menyusun semula sebahagian hutang berjumlah RM10.8 bilion dengan menukarkan sebahagian liabiliti kepada pegangan ekuiti melalui penerbitan saham baharu dan sekuriti hutang Islam tanpa cagaran boleh tukar boleh tebus (Redeemable Convertible Unsecured Islamic Debt Securities, RCUIDS).

 

Susulan pelaksanaan pelan itu, beberapa institusi perbankan utama termasuk Malayan Banking Berhad, CIMB Group Holdings Berhad dan RHB Bank Berhad muncul sebagai pemegang saham utama syarikat, manakala pegangan Permodalan Nasional Berhad berkurangan kepada di bawah lima peratus.

 

Selain itu, Kementerian Kewangan sebelum ini turut menyediakan pembiayaan berjumlah RM1.1 bilion bagi membantu syarikat melunaskan tunggakan pembayaran kepada vendor tempatan dalam industri minyak dan gas.

 

Bagi suku pertama berakhir 30 April 2026, Vantris mencatat keuntungan bersih RM145.79 juta berbanding kerugian bersih RM477.96 juta yang direkodkan setahun lalu, disumbangkan oleh pengurangan kerugian projek di Angola, penerimaan tuntutan insurans serta kos pembiayaan yang lebih rendah.

 

Sehingga akhir April lalu, syarikat mempunyai buku tempahan tertunggak bernilai RM5.9 bilion dan tambahan RM2.9 bilion menerusi usaha sama dan syarikat bersekutu, selain memiliki tunai dan deposit sebanyak RM1.96 bilion berbanding jumlah pinjaman RM5.34 bilion, mencerminkan asas kewangan yang semakin stabil untuk meneruskan proses pemulihan dan pertumbuhan perniagaannya. - DagangNews.com