Persaingan rebut pakej awal Langat 2 Fasa 2 RM3.7 bilion bermula, Gamuda dan IJM muncul calon utama - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persaingan rebut pakej awal Langat 2 Fasa 2 RM3.7 bilion bermula, Gamuda dan IJM muncul calon utama - CIMB Securities

Gambar/ Pengurusan Aset Air Berhad
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Jun - Persaingan untuk merebut dua pakej pertama projek infrastruktur air Langat 2 Fasa 2 bernilai RM3.7 bilion dijangka menjadi tumpuan industri pembinaan, dengan Gamuda Bhd dan IJM Corp Bhd dilihat antara calon paling berpotensi berdasarkan pengalaman luas mereka dalam pelaksanaan projek bekalan air berskala besar.

 

Menurut CIMB Securities, kedua-dua syarikat itu mempunyai rekod prestasi kukuh dalam sektor infrastruktur air, sekali gus meletakkan mereka dalam kedudukan yang baik untuk bersaing dalam proses tender yang dijangka sengit.

 

Pada 9 Jun 2026, Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) mengeluarkan notis tender pra-kelayakan bagi dua pakej utama di bawah Langat 2 Fasa 2, yang merupakan sebahagian daripada projek pemindahan air mentah bersepadu Pahang-Selangor.

 

Projek berkenaan menghubungkan terowong pemindahan air mentah sepanjang 44.6 kilometer dari Sungai Semantan di Pahang ke Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 di Hulu Langat, Selangor.

 

Pakej pertama melibatkan pembinaan LRA serta sistem retikulasi di Hulu Selangor, manakala pakej kedua merangkumi kerja reka bentuk, pembinaan dan pentauliahan takungan di Petaling dan Bukit Serdang selain stesen pam penggalak serta menara air di Sungai Besi.

 

Permohonan pra-kelayakan bagi kedua-dua pakej tersebut dijadual ditutup pada 9 Julai 2026.

 

CIMB Securities berkata, walaupun proses pembidaan dijangka kompetitif, Gamuda dan IJM mempunyai kelebihan dari segi pengalaman teknikal dan keupayaan pelaksanaan projek berskala besar.

 

Antara projek yang pernah diterajui Gamuda termasuk Skim Bekalan Air Sungai Rasau, Skim Bekalan Air Ulu Padas dan Skim Bekalan Air Perak Utara.

 

Sementara itu, IJM mempunyai pengalaman dalam pembinaan terowong pemindahan air mentah Pahang-Selangor serta pemasangan paip air berdiameter besar.

 

Secara keseluruhan, projek Langat 2 Fasa 2 bersama-sama Skim Bekalan Air Sungai Rasau dijangka menambah kapasiti bekalan air Selangor sebanyak 2,260 juta liter sehari selepas siap sepenuhnya.

 

Dalam masa sama, CIMB Securities turut melihat projek berkenaan sebagai pemangkin kepada syarikat bahan binaan seperti Malayan Cement Bhd menerusi peningkatan permintaan terhadap simen, konkrit siap bancuh dan bahan pembinaan lain sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan "neutral" terhadap sektor pembinaan dan bahan binaan meskipun prospek aliran projek kekal kukuh. - DagangNews.com