Vantris Energy kembali catat untung bersih RM145.8 juta bagi 1QFY27 didorong kos kewangan lebih rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vantris Energy kembali catat untung bersih RM145.8 juta bagi 1QFY27 didorong kos kewangan lebih rendah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 JunVantris Energy Berhad berjaya kembali mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM145.8 juta bagi suku pertama berakhir pada 30 April 2026 (1QFY27), iaitu peningkatan 130.5%. 

 

Prestasi positif ini didorong pengurangan kos kewangan selepas selesai langkah penstrukturan semula, selain dibantu oleh tuntutan insurans serta pengurangan kerugian projek di Angola.

 

Kumpulan tersebut yang dahulunya dikenali sebagai Sapura Energy Berhad dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, keuntungan selepas cukai (PAT) ini merupakan pemulihan yang amat besar.

 

"Sebagai perbandingan kerugian selepas cukai dan kepentingan minoriti (LATAMI) Vantris Energy berjumlah RM478.0 juta yang pernah dicatatkan pada suku sama tahun kewangan lalu," jelasnya.

 

Kejayaan kali ini ujar kumpulan tersebut, menandakan suku kedua berturut-turut syarikat berkenaan mencapai keuntungan bersih sejak berjaya menamatkan penstrukturan semula kedudukan kewangannya.

 

Bagaimanapun, hasil bagi suku tersebut menyusut kepada RM645.2 juta berbanding RM801.4 juta pada tahun sebelumnya, mencerminkan peralihan strategik ke arah kontrak dengan profil risiko lebih baik.

 

Ujarnya lagi, setakat 30 April 2026, kedudukan tunai, deposit dan baki bank Vantris Energy kekal kukuh pada RM1.96 billion, manakala buku tempahan mencatatkan jumlah keseluruhan RM5.9 billion.

 

"Keputusan 1QFY27 mencerminkan kemajuan berterusan dalam perjalanan pemulihan serta impak positif daripada disiplin operasi yang dilaksanakan," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Muhammad Zamri Jusoh.  

 

Beliau turut menambah, dengan kunci kira-kira yang lebih sihat, syarikat kini berada pada kedudukan lebih baik untuk dapat memberi tumpuan kepada prestasi operasi secara mampan dalam jangka panjang.

 

Justeru, usaha itu memulihkan keyakinan pemegang taruh, dan Vantris Energy sedang berusaha keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) dengan mengekalkan momentum keuntungan tersebut. - DagangNews.com