KUALA LUMPUR 15 Jun – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd menjalin kerjasama strategik bagi memberi peluang pemulihan pekerjaan kepada pencarum yang sedang menjalani proses rehabilitasi untuk kembali ke alam pekerjaan.
Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal berkata inisiatif itu dijangka melibatkan seramai 120 orang berinsurans (OB) dalam tempoh setahun yang akan dilaksanakan secara berperingkat melalui program percubaan kerja.
Menurut beliau, setiap sesi akan melibatkan lima peserta yang akan menjalani tempoh percubaan kerja selama dua minggu dalam persekitaran kerja sebenar.
“Program ini bertujuan untuk membina semula keyakinan diri, mengasah semula kemahiran serta membuktikan bahawa tiada batasan yang menghalang mereka daripada kembali kompetitif dalam pasaran kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PERKESO dan 7-Eleven Malaysia di Ipoh.
Turut hadir ialah Pengerusi 7-Eleven Malaysia, Tan Sri Mohd Annuar Zaini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed serta Co-CEO 7-Eleven Malaysia, Wong Wai Keong.
Lokasi 7-Eleven Berdekatan Komuniti
Mohd Annuar berkata 7-Eleven dilihat sebagai rakan strategik sesuai bagi pelaksanaan inisiatif Kembali Bekerja Work (RTW) memandangkan rangkaian kedai serbaneka itu beroperasi di lebih 2,700 lokasi seluruh negara.
Menurutnya, kedudukan kedai yang berhampiran dengan komuniti memudahkan peserta menjalani latihan tanpa perlu berpindah jauh dari tempat tinggal mereka.
“Selain itu, sistem kerja syif yang fleksibel serta pendedahan kepada operasi runcit seperti perkhidmatan pelanggan, pengurusan produk dan operasi harian menjadikan ia sesuai untuk peserta RTW,” katanya.
Beliau menambah bahawa kerjasama ini juga membolehkan 7-Eleven menyediakan latihan pra-pekerjaan, pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar serta penempatan kerja bermakna kepada peserta program.
Katanya, ini merupakan kali pertama 7-Eleven Malaysia menandatangani perjanjian pekerjaan secara rasmi bersama PERKESO dan pihaknya berharap kumpulan pertama peserta RTW dapat ditempatkan sebelum akhir tahun ini.
Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui
Dalam pada itu, PERKESO turut memeterai perjanjian bekalan tenaga boleh baharu bersama TNB dan GSPARX bagi pemasangan sistem solar fotovoltaik di Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Sibernetik Kebangsaan PERKESO.
Projek berkenaan dijangka menjana lebih 1,155 megawatt-peak tenaga hijau dalam tempoh 20 tahun.
Ia juga diunjurkan memenuhi kira-kira 30 peratus keperluan tenaga keseluruhan fasiliti tersebut.
Selain itu, projek itu dijangka mengurangkan pelepasan karbon sehingga hampir 945 tan setahun, selaras dengan usaha kelestarian alam sekitar PERKESO.
Kerjasama dua hala ini dilihat bukan sahaja memperkukuh agenda pemulihan pekerjaan, malah menyokong peralihan tenaga hijau dalam operasi institusi keselamatan sosial negara. - DagangNews.com








