Silver Ridge raih kontrak pembinaan RM2.3 juta di Sunway Iskandar, Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Silver Ridge raih kontrak pembinaan RM2.3 juta di Sunway Iskandar, Johor

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 Jun - Silver Ridge Holdings Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Ingress Delta Construction Sdn Bhd (IDC), menerima Surat Anugerah daripada Sunway Parkview Sdn Bhd bagi kerja-kerja pembinaan bangunan utama di Sunway Iskandar, Johor.

 

Kontrak bernilai RM2.32 juta itu melibatkan pembinaan tiga unit rumah contoh yang terdiri daripada rumah teres dua tingkat Jenis A, B dan C, sebagai sebahagian daripada pembangunan 299 unit kediaman strata di PTD 228780, Jalan Medini Selatan 5, Bandar Medini Iskandar, Mukim Pulai, Johor Bahru.

 

Menurut kenyataan syarikat kepada Bursa Malaysia, projek tersebut telah bermula pada 4 Jun 2026 dan dijangka siap pada 3 Oktober 2026.

 

“Kontrak ini adalah sebahagian daripada aktiviti perniagaan biasa kumpulan,” kata syarikat itu.

 

Silver Ridge menjelaskan kontrak berkenaan tidak memberi kesan material terhadap modal saham terbitan dan berbayar, pegangan pemegang saham utama, aset bersih sesaham serta tahap keberhutangan kumpulan.

 

Bagaimanapun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027.

 

Lembaga Pengarah berpendapat kontrak berkenaan adalah selaras dengan kepentingan terbaik kumpulan serta menyokong pertumbuhan pendapatan masa depan. - DagangNews.com