KUALA LUMPUR 15 Jun — Meta Bright Group Berhad tampil memberi penjelasan lanjut berhubung cadangan pengambilalihan 70% ekuiti TTOP Industrial & Engineering Sdn Bhd (TIESB) bernilai RM9.29 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, vendor bertanggungjawab membayar pampasan jika gagal mencapai keuntungan selepas cukai (PAT) yang dijamin bagi tempoh tahun kewangan 2027 hingga 2031.
Sekiranya vendor gagal membuat bayaran tunai bagi sebarang kekurangan pampasan, kumpulan itu berhak melaksanakan cagaran saham pertimbangan dipegang untuk mendapatkan semula jumlah tertunggak.
"Jika hasil pelaksanaan cagaran itu masih tidak cukup, vendor perlu menjelaskan baki secara tunai dan Meta Bright boleh mengambil tindakan timbang tara bagi menguatkuasakan tuntutan," tambahnya.
Cadangan pengambilalihan itu melibatkan pembelian 1.4 juta saham TIESB mewakili 70% kepentingan, yang akan diselesaikan melalui pembayaran tunai RM1 juta dan penerbitan 51.83 juta saham baharu.
Selain itu, kumpulan tersebut turut menjelaskan yang operasi salah satu syarikat dalam kumpulan sasaran dikenali STSSB, dijangka memulakan operasi komersial pada suku keempat tahun kalendar 2026.
Meta Bright pada masa sama, memaklumkan nilai aset bersih kumpulan sasaran diselaras berdasarkan pegangan 70% dalam TIESB berjumlah RM3.4 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2024.
"Jumlah tersebut berkurangan kepada RM2.2 juta pada tahun berikutnya, disebabkan pembayaran dividen oleh TIESB, namun ada mekanisme bagi menyokong justifikasi penilaian transaksi," jelasnya lagi.
Kumpulan menetapkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sasaran sebanyak 4.4 kali berada dalam julat setara industri tenaga solar selepas diaambil kira diskaun kecairan kelaziman sebanyak 30%.
Menurut Meta Bright, sebelum pengambilalihan dimuktamadkan, TIESB akan menjalani proses penyusunan semula korporat yang menyaksikan syarikat tersebut dijangka memiliki sepenuhnya GCCSB dan FIESB.
Cadangan pengambilalihan sebelum ini diumumkan pada 20 Mei 2026 dan masih tertakluk proses usaha wajar, pemeteraian perjanjian jual beli saham serta kelulusan pihak berkuasa dan pemegang saham.
"Kami berpandangan usaha ini mengukuhkan lagi penglibatan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) dan kejuruteraan, selain menyumbang hasil pada masa depan," katanya. - DagangNews.com








