Saham SUM Technology melonjak 43% pada permulaan dagangan di Pasaran ACE, dibuka 40 sen berbanding harga IPO 28 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham SUM Technology melonjak 43% pada permulaan dagangan di Pasaran ACE, dibuka 40 sen berbanding harga IPO 28 sen

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Jun – SUM Technology Bhd mencatatkan permulaan dagangan yang kukuh di Pasaran ACE Bursa Malaysia apabila sahamnya melonjak sekitar 42.86% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebaik dibuka pada hari pertama penyenaraian.

 

Saham syarikat itu yang ditawarkan pada harga IPO RM0.28 sesaham dibuka pada paras RM0.40 sebelum meningkat kepada paras tertinggi RM0.445 dalam dagangan awal.

 

Sejurus dibuka, kaunter berkenaan terus mencatatkan aktiviti dagangan aktif dengan jumlah dagangan awal sebanyak kira-kira 678,526 unit saham, menunjukkan minat pembelian yang tinggi daripada pelabur.

 

Pada paras 44.5 sen, saham tersebut mencerminkan kenaikan ketara berbanding harga pembukaan, sekali gus mengekalkan momentum positif sepanjang sesi awal dagangan.

 

Minat belian yang kukuh ini turut disokong oleh permintaan pasaran yang tinggi apabila IPO syarikat itu terlebih langgan sebanyak 110.54%, melibatkan penyertaan pelabur runcit dan institusi.

 

Melalui penyenaraian ini, SUM Technology berjaya mengumpul dana sekitar RM32.8 juta hasil terbitan 117 juta saham baharu pada harga IPO RM0.28 sesaham.

 

SUM Technology merupakan syarikat kejuruteraan yang terlibat dalam pembinaan kemudahan berteknologi tinggi termasuk bilik bersih serta sistem mekanikal, elektrikal, proses utiliti dan perlindungan kebakaran bagi fasiliti kritikal seperti sektor semikonduktor, farmaseutikal dan pusat data.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tawaran awam permulaan Sum Technology terlebih langgan 110.54 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

 

Syarikat yang berpangkalan di Petaling Jaya itu turut menghasilkan produk pengudaraan mekanikal dan penyaman udara yang disesuaikan mengikut keperluan pelanggan industri, selain menyediakan penyelesaian kejuruteraan bersepadu bagi projek berskala besar.

 

Daripada keseluruhan hasil IPO, lebih 50% akan digunakan sebagai modal kerja bagi menyokong operasi dan pelaksanaan projek sedia ada serta projek baharu di dalam dan luar negara.

 

Sebanyak 17% daripada dana IPO diperuntukkan untuk pengembangan ibu pejabat syarikat, manakala 8.7% akan digunakan bagi penubuhan pejabat baharu di Filipina yang merupakan pasaran luar negara terbesar SUM Technology ketika ini.

 

Selain itu, 7.6% akan digunakan untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan keupayaan reka bentuk, kecekapan sistem serta pembangunan penyelesaian kejuruteraan baharu.

 

Baki sekitar 16.7% daripada hasil IPO akan digunakan untuk menampung perbelanjaan penyenaraian di Bursa Malaysia.

 

Malacca Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan. - DagangNews.com