Projek pusat data Sunway Construction di Johor kini bertambah kepada RM865.6 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek pusat data Sunway Construction di Johor kini bertambah kepada RM865.6 juta

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 18 Jun - Sunway Construction Group Bhd memperoleh kerja tambahan bagi dua projek pencawang berkaitan pusat data di Johor selepas menerima arahan perubahan kerja (change orders) daripada sebuah syarikat teknologi multinasional yang beribu pejabat di Amerika Syarikat.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Rabu, kumpulan itu berkata anak syarikat milik penuhnya, Sunway Construction Sdn Bhd, telah menerima arahan perubahan tersebut pada 17 Jun 2026 bagi permintaan perkhidmatan projek yang pada asalnya dianugerahkan pada 21 April 2026.

 

Projek berkenaan melibatkan pembinaan dan penyiapan pencawang bagi dua pembangunan pusat data di Johor.

 

“Jumlah nilai kontrak kerja telah meningkat kepada RM865.6 juta selepas penerimaan arahan perubahan kerja berjumlah RM664.4 juta,” kata SunCon.


 

solar

 


Setakat 17 Jun, SunCon Group telah memperoleh RM4.2 bilion nilai tempahan baharu bagi tahun kewangan semasa termasuk arahan perubahan terkini, sekali gus menjadikan jumlah buku tempahan tertunggak meningkat kepada RM8.8 bilion.

 

Dagangan saham SunCon digantung pada jam 9 pagi hari ini namun disambung semula pada jam 10 pagi selepas pengumuman dibuat. Ketika dibuka, saham berkenaan didagangkan pada RM7.44, sekali gus menilai permodalan pasaran pada RM9.85 bilion. - DagangNews.com