Pusat data AI Bukit Jalil berpotensi sumbang RM195 juta hasil sewaan kepada MRCB seawal FY28 - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pusat data AI Bukit Jalil berpotensi sumbang RM195 juta hasil sewaan kepada MRCB seawal FY28 - RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Jun - Cadangan pembangunan pusat data (DC) berasaskan kecerdasan buatan (AI) berkapasiti 65 megawatt (MW) di Bukit Jalil berpotensi menjadi pemacu baharu pertumbuhan pendapatan Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB), dengan hasil sewaan diunjurkan mencecah kira-kira RM195 juta pada tahun pertama operasinya.

 

Menurut RHB Research, unjuran tersebut dibuat berdasarkan model pajakan bersih tiga kali (triple net-lease) yang dicadangkan bagi projek bernilai RM2.1 bilion itu.

 

Katanya, di bawah andaian tersebut, pendapatan bersih yang boleh dijana oleh MRCB dianggarkan sekitar RM49 juta pada tahun kewangan 2028 (FY28), bersandarkan margin keuntungan bersih sebanyak 25%.

 

Unjuran itu turut mengambil kira kadar penghunian awal sebanyak 50% pada FY28 sebelum meningkat kepada 75% pada FY29 dan mencapai kapasiti penuh menjelang FY30.

 

Selain itu, kadar sewaan bulanan dianggarkan sekitar RM500 bagi setiap kilowatt (kW) kapasiti teknologi maklumat (IT).

 

Firma penyelidikan berkata, struktur pajakan jangka panjang yang dicadangkan berupaya menyediakan aliran pendapatan berulang yang lebih stabil kepada MRCB, sekali gus mengurangkan kebergantungan syarikat kepada segmen pembinaan dan pembangunan hartanah.

 

"Dengan peningkatan permintaan terhadap kemudahan pusat data yang menyokong aplikasi AI dan pengkomputeran awan, projek ini berpotensi menjadi aset strategik yang menjana pendapatan jangka panjang kepada kumpulan," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Dari sudut penilaian, RHB Research menganggarkan nilai ekuiti bagi pusat data AI tersebut berada dalam lingkungan RM500 juta hingga RM700 juta berdasarkan kaedah aliran tunai terdiskaun (DCF).

 

Penilaian itu dibuat dengan mengambil kira kos pembangunan sebanyak RM2.1 bilion, nisbah hutang kepada ekuiti 70:30, kadar faedah 5%, margin EBITDA konservatif sebanyak 40% serta tempoh pajakan selama 10 tahun.

 

Berdasarkan anggaran tersebut, pusat data AI di Bukit Jalil berpotensi menyumbang nilai antara 11 sen hingga 16 sen sesaham kepada MRCB.

 

Potensi Pertumbuhan

RHB Research turut melihat potensi pertumbuhan lebih besar memandangkan BJSP masih mempunyai dua lagi plot tanah berasingan seluas kira-kira 97,700 meter persegi dan 173,800 meter persegi yang berpotensi dibangunkan sebagai pusat data pada masa depan.

 

Malah, MRCB dilaporkan telah menerima beberapa minat awal daripada pelanggan yang berpotensi untuk mengambil kapasiti pusat data 65MW tersebut.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan mengekalkan saranan "Beli" terhadap saham MRCB dengan harga sasaran RM0.51 sesaham, yang merangkumi premium ESG sebanyak 4%.

 

Menurutnya, kedudukan buku tempahan semasa MRCB yang kukuh bernilai RM5.7 bilion serta penilaian saham yang masih rendah menjadi faktor utama yang menyokong prospek syarikat itu.

 

"MRCB kini didagangkan pada nisbah harga kepada nilai buku (P/BV) FY27F sebanyak 0.3 kali, iaitu satu sisihan piawai di bawah purata lima tahun sejarahnya," katanya.

 

Bagaimanapun, antara risiko utama yang boleh menjejaskan prospek syarikat termasuk kelembapan pasaran hartanah dan tekanan kos bahan binaan yang berterusan. - DagangNews.com