Hextar Technologies, Widad tamatkan rundingan jual beli tanah RM31.3 juta di Nilai Inland Port | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hextar Technologies, Widad tamatkan rundingan jual beli tanah RM31.3 juta di Nilai Inland Port

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Jun – Cadangan penjualan tanah perindustrian seluas 10.4 ekar bernilai RM31.3 juta antara Hextar Technologies Solutions Bhd (HexTech) dan Widad Group Bhd akhirnya dibatalkan secara bersama selepas hampir dua tahun melalui beberapa peringkat rundingan.

 

HexTech dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan semua perbincangan berkaitan pelupusan empat lot tanah perindustrian kosong yang bersebelahan di Nilai Inland Port kepada Widad Development (Nilai) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Widad Group.

 

“Susulan penamatan tersebut, kedua-dua pihak tidak lagi mempunyai sebarang obligasi, komitmen atau tuntutan antara satu sama lain berkaitan urus niaga berkenaan,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Cadangan asal urus niaga itu dimulakan pada 11 September 2024 menerusi pemeteraian perjanjian yang melibatkan lima lot tanah perindustrian kosong di kawasan berkenaan.

 

Bagaimanapun, skop urus niaga kemudian disemak semula apabila pada 17 April 2025, kedua-dua pihak menandatangani perjanjian jual beli bersyarat hanya bagi empat daripada lima lot tanah yang dicadangkan sebelum ini.

 

Urus Niaga Asal Libatkan Tukaran Tanah Kepada Hampir Satu Bilion Saham Widad

Di bawah struktur asal perjanjian, harga pembelian RM31.3 juta tidak akan dibayar secara tunai, sebaliknya diselesaikan melalui penerbitan kira-kira 993.65 juta saham baharu Widad pada harga 3.15 sen sesaham.

 

Berdasarkan struktur itu, HexTech berpotensi memiliki kira-kira 24.15% pegangan dalam Widad berdasarkan jumlah saham terbitan yang telah diperbesarkan setakat akhir Mac 2025.

 

Pegangan tersebut akan menjadikan HexTech sebagai pemegang saham tunggal terbesar dalam Widad, satu kedudukan strategik yang signifikan dalam struktur pemilikan syarikat berkenaan.

 

Namun, HexTech menyatakan syarikat itu tidak berhasrat untuk menjadi pelabur strategik jangka panjang dalam Widad, sebaliknya merancang untuk melupuskan pegangan saham tersebut secara berperingkat bagi mendapatkan tunai.

 

Dari sudut kewangan, urus niaga itu dijangka menyumbang keuntungan pelupusan secara pro forma sebanyak RM25.97 juta kepada HexTech sekiranya ia dimuktamadkan.

 

Tiada Tuntutan Atau Liabiliti Selepas Perjanjian Dimuktamadkan Ditamatkan

Bagaimanapun, dengan pembatalan ini, semua jangkaan keuntungan tersebut tidak lagi direalisasikan dan tiada kesan kewangan akan direkodkan daripada transaksi berkenaan.

 

Penamatan urus niaga ini juga bermakna HexTech kekal sebagai pemilik empat lot tanah perindustrian kosong di Nilai Inland Port manakala Widad tidak lagi perlu menerbitkan hampir 993.65 juta saham baharu seperti yang dirancang sebelum ini.

 

Kedua-dua pihak menegaskan keputusan untuk menamatkan perjanjian ini dibuat secara bersama selepas mempertimbangkan keseluruhan proses rundingan yang telah berlangsung sejak 2024, tanpa sebarang liabiliti atau tuntutan lanjut antara mereka.

 

Dengan itu, kedua-dua syarikat kini kembali kepada kedudukan asal masing-masing tanpa sebarang perubahan terhadap pegangan saham atau struktur kewangan yang sebelum ini dijangka daripada cadangan urus niaga tersebut. - DagangNews.com