Urus niaga RM903 juta UEM Sunrise bagi projek Collingwood dinilai `saksama' oleh PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Urus niaga RM903 juta UEM Sunrise bagi projek Collingwood dinilai `saksama' oleh PublicInvest

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 18 Jun - PublicInvest Research mengekalkan unjuran pendapatan UEM Sunrise Berhad buat masa ini sementara menunggu butiran lanjut berhubung urus niaga terbaharu projek Collingwood di Australia, dengan menyifatkan penilaian transaksi tersebut sebagai “saksama”.

 

“Dengan penilaian yang dilihat sudah saksama, kami mengekalkan saranan Neutral dengan harga sasaran tidak berubah pada 60 sen, berdasarkan 0.4 kali nilai buku, selari dengan purata diskaun lima tahun kepada nilai buku,” kata PublicInvest dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, langkah berkenaan turut menyokong sasaran jualan UEM Sunrise bagi tahun kewangan 2026 (FY26) sebanyak RM1.3 bilion serta sasaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.2 bilion.

 

Selepas mengambil kira transaksi terbaharu itu, PublicInvest menganggarkan pra-jualan kumpulan berada sekitar RM1.16 bilion, dengan beberapa suku tahun masih berbaki dalam tahun kewangan semasa.

 

Pelancaran akan memberi tumpuan kepada perumahan mampu milik dan naik taraf di kawasan seperti Serene Heights, Mont’Kiara, Gerbang Nusajaya dan Estuari, serta projek luar negara One Oval di Australia.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: UEM Sunrise bekerjasama dengan Kio Investment bangunkan projek kediaman Build-to-Rent RM903.3 juta di Melbourne

 

Perkukuh strategi luar negara UEM Sunrise

UEM Sunrise telah memperoleh rakan strategik bagi pembangunan Build-to-Rent (BTR) Collingwood di Melbourne, Australia, menerusi urus niaga bernilai AUD315.4 juta (RM903.3 juta), sekali gus memperkukuh strategi kumpulan dalam pasaran luar negara.

 

Projek itu sebelum ini pernah dipersetujui dengan Greystar Real Estate Partners, namun perjanjian tersebut ditamatkan selepas gagal memenuhi syarat tertentu. Greystar sebelum ini telah membayar AUD10.6 juta sebagai bayaran penamatan.

 

Di bawah struktur baharu, pembangunan tersebut akan disokong oleh Kio Investment Management, iaitu usaha sama antara firma ekuiti persendirian AS, Warburg Pincus, dan pakar industri hartanah Australia, Sam Bisla.

 

UEM Sunrise akan kekal sebagai pemaju dan rakan pelaksana projek, manakala Kio bertindak sebagai pelabur serta pemilik dan pengendali jangka panjang.

 

Projek Collingwood itu dijangka memulakan pembinaan menjelang akhir 2026 dan siap pada 2030, dengan pembangunan lebih 400 unit kediaman di pasaran sewaan yang ketat di Melbourne.

 

UEM Sunrise Berhad kekal berada pada landasan strategik untuk mengukuhkan aliran pendapatan pembangunan, disokong oleh penjanaan nilai aset antarabangsa serta pelan pelancaran domestik yang berterusan. - DagangNews.com