KUALA LUMPUR 18 Jun - Berdasarkan prestasi semasa pada suku pertama tahun kewangan 2026 (1Q26), unit penjanaan elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB), TNB Power Generation Sdn Bhd atau GenCo berpotensi menjana keuntungan selepas cukai (PAT) tahunan sekitar RM875 juta berbanding RM420 juta hingga RM450 juta yang dicatatkan sepanjang 2024 hingga 2025, menurut CGS International.
Peningkatan ketara itu mencerminkan transformasi operasi yang semakin membuahkan hasil, sekali gus menjadikan GenCo sebagai penyumbang pendapatan yang semakin signifikan kepada kumpulan.
Menurut firma penyelidikan itu, PAT dinormalisasikan GenCo meningkat bagi lima suku berturut-turut dan mencecah RM219 juta pada 1Q26 walaupun berdepan margin bahan api yang negatif.
Prestasi tersebut turut meningkatkan sumbangan GenCo kepada keuntungan bersih kumpulan kepada 19% pada 1Q26 berbanding purata hanya 6% bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Bukan Bersifat Sementara
Katanya, peningkatan berkenaan bukan bersifat sementara, sebaliknya didorong oleh penambahbaikan struktur operasi yang ketara.
Faktor ketersediaan loji meningkat kepada 91% pada 1Q26 berbanding hanya 75% pada 1Q24, sekali gus mencapai tahap tertinggi dalam tempoh lebih enam tahun.
"Peningkatan prestasi ini didorong oleh pelaksanaan inisiatif pendigitalan, pengoptimuman penyelenggaraan serta kerja-kerja baik pulih yang lebih berkesan di loji-loji arang batu milik GenCo," katanya dalam nota penyelidikan.

Selain itu, GenCo turut mendapat manfaat daripada peningkatan kadar penghantaran tenaga apabila beberapa loji lain dalam sistem mengalami kadar gangguan operasi yang lebih tinggi, sekali gus meningkatkan penggunaan aset penjanaan milik TNB.
Saluran Projek Baharu Semakin Jelas
Dalam perkembangan berkaitan, prospek pertumbuhan GenCo turut disokong oleh saluran projek kapasiti baharu yang semakin jelas.
Pada 4 Jun lalu, TNB menandatangani perjanjian tempahan dengan Mitsubishi Power Ltd. bagi enam turbin gas yang mewakili kapasiti kira-kira 4.2 gigawatt (GW), sekali gus memastikan akses kepada bekalan turbin yang kini semakin terhad di pasaran global.
Ketika ini, TNB mempunyai saluran projek loji turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti keseluruhan 5.6GW yang merangkumi projek peningkatan kapasiti di Paka serta projek baharu di Kapar dan Pasir Gudang.
Selain itu, syarikat utiliti negara itu turut memperoleh projek CCGT baharu berkapasiti 1.4GW di Paka menerusi program NEWGEN25.
Firma penyelidikan berpendapat tempahan turbin tersebut merupakan langkah strategik yang boleh mempercepatkan penganugerahan kontrak projek-projek berkenaan memandangkan Malaysia memerlukan tambahan kapasiti penjanaan bagi memenuhi pertumbuhan permintaan elektrik yang semakin pesat.
Berdasarkan anggarannya, sebuah loji CCGT berkapasiti 1.4GW mampu menjana keuntungan bersih tahunan antara RM200 juta hingga RM250 juta dengan kadar pulangan dalaman (IRR) sekitar 8% hingga 9%.
Ini bermakna saluran projek semasa berpotensi menyumbang asas pendapatan tahunan antara RM800 juta hingga RM1 bilion kepada GenCo pada masa hadapan.
Walaupun loji baharu itu sebahagiannya akan menggantikan aset penjanaan lama yang semakin uzur, tahap kecekapan yang lebih tinggi dijangka terus menyokong pertumbuhan keuntungan unit tersebut.

Sehubungan itu, firma penyelidikan mengekalkan saranan "Tambah" terhadap saham TNB dengan harga sasaran RM16.60 sesaham.
Menurutnya, TNB kekal sebagai antara proksi terbaik untuk memanfaatkan peralihan tenaga negara dan peningkatan pelaburan dalam sektor kuasa, khususnya menerusi perbelanjaan modal yang lebih tinggi di bawah Tempoh Regulatori Keempat (RP4).
Selain prestasi GenCo yang semakin kukuh, peningkatan permintaan elektrik daripada pembangunan pusat data serta potensi kontrak CCGT baharu turut dilihat sebagai pemangkin utama kepada pertumbuhan pendapatan kumpulan.
Pada masa sama, saham TNB kini didagangkan pada nisbah EV/EBITDA terlaras 2026 sebanyak 7.6 kali, lebih rendah berbanding julat penilaian syarikat utiliti serantau antara 9 hingga 16 kali.
Bagaimanapun, risiko utama yang perlu diberi perhatian termasuk peningkatan kos operasi, ketidaktentuan harga bahan api serta perubahan dasar kawal selia yang kurang memihak kepada sektor utiliti. - DagangNews.com








