KUALA LUMPUR 16 Jun - UEM Sunrise Berhad memperoleh rakan pelabur bagi projek Build-to-Rent (BTR) bernilai AUD315.4 juta (RM903.3 juta) di Collingwood, Melbourne, sekali gus mengukuhkan lagi kehadirannya dalam pasaran hartanah Australia yang semakin berkembang.
Pelabur yang menyertai pembangunan itu ialah Kio Investment Management (Kio), sebuah syarikat pengurusan pelaburan sektor kediaman Australia yang merupakan usaha sama antara firma ekuiti persendirian Amerika Syarikat, Warburg Pincus dan pakar industri Australia, Sam Bisla.
Menerusi kerjasama tersebut, UEM Sunrise akan bertindak sebagai pemaju dan rakan pelaksana projek melalui anak syarikat milik penuhnya, UEM Sunrise (Collingwood Development) Pty Ltd, manakala Kio akan berperanan sebagai pelabur serta pemilik-pengendali pembangunan berkenaan.
Kerjasama itu dimeterai menerusi majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Melbourne dan disaksikan oleh wakil kanan UEM Sunrise serta Kio.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Shaharul Farez Hassan berkata, kerjasama itu merupakan satu pencapaian penting dalam merealisasikan projek Collingwood yang bakal menyediakan lebih 400 unit kediaman baharu di antara pasaran sewaan paling terhad bekalannya di Melbourne.
“Projek Collingwood adalah sebahagian penting daripada strategi pertumbuhan kami di Australia dan mencerminkan komitmen berterusan untuk mengembangkan portfolio pembangunan antarabangsa.
“Dengan rekod prestasi yang kukuh di Melbourne, kami berada pada kedudukan yang baik untuk menyediakan perumahan di lokasi bandar yang mempunyai tahap kesalinghubungan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, projek itu juga mencerminkan pendekatan strategik dan berdisiplin syarikat dalam menjalin kerjasama ketika memperkukuhkan kedudukannya dalam sektor Build-to-Rent yang semakin berkembang di Australia.
Tapak pembangunan seluas 0.54 hektar yang terletak di 21-53 Hoddle Street, kira-kira 3.5 kilometer dari Daerah Perniagaan Pusat (CBD) Melbourne, akan dibangunkan dengan dua bangunan yang menawarkan pelbagai jenis unit termasuk studio serta apartmen satu, dua dan tiga bilik tidur.
Pembangunan tersebut turut dilengkapi dataran awam yang menempatkan premis makanan dan minuman, ruang runcit, perkhidmatan penting serta kawasan landskap hijau.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Kio, Sam Bisla berkata, Collingwood menepati strategi syarikat itu untuk membangunkan platform kediaman institusi terkemuka di bandar-bandar utama Australia.
“Kami melihat asas pertumbuhan jangka panjang yang kukuh bagi sektor perumahan sewaan institusi di Australia dan terus memberi tumpuan kepada lokasi bandar utama yang mempunyai akses pengangkutan yang baik seperti Collingwood.
“Projek ini sangat selari dengan visi jangka panjang kami dan kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan UEM Sunrise untuk meningkatkan bekalan perumahan yang diurus secara profesional di Melbourne,” katanya.

Kerja-kerja pembinaan awal projek tersebut dijangka bermula menjelang penghujung 2026 dengan sasaran siap sepenuhnya pada 2030.
UEM Sunrise telah bertapak di Australia selama lebih sedekad menerusi pembangunan ikonik seperti Aurora Melbourne Central dan Conservatory yang menghadap Carlton Gardens, tapak yang diiktiraf sebagai Warisan Dunia UNESCO.
Kedua-dua projek tersebut telah menyumbang lebih 1,600 unit kediaman di Melbourne.
Selain Melbourne, syarikat itu turut mengembangkan operasi ke Perth menerusi projek One Oval di Subiaco yang dilancarkan pada 2025.
Projek yang menawarkan 342 unit kediaman itu merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan semula Subi East yang diterajui DevelopmentWA, agensi pembaharuan bandar milik Kerajaan Australia Barat.
Langkah mendapatkan pelabur strategik bagi projek Collingwood dilihat mampu mempercepatkan pelaksanaan pembangunan itu sambil mengukuhkan lagi kedudukan UEM Sunrise dalam segmen Build-to-Rent yang semakin mendapat perhatian di Australia. - DagangNews.com








