KUALA LUMPUR 16 Jun – Syarikat pengangkutan marin, Orkim Bhd melancarkan kapal terbaharu mereka, Orkim Jade yang dibina di Fujian Mawei Shipbuilding Ltd di Fuzhou, China sebagai sebahagian daripada pelan pembaharuan dan pengembangan armada kumpulan itu.
Kapal baharu tersebut mempunyai kapasiti muatan sehingga 14,500 tan DWT, menjadikannya antara aset penting dalam memperkukuh keupayaan operasi logistik marin syarikat.
Menurut Orkim, pembinaan kapal ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang bagi meningkatkan kecekapan operasi serta memastikan perkhidmatan pengangkutan yang lebih berdaya saing dalam industri perkapalan serantau.
Orkim Jade direka dengan ciri-ciri teknologi moden yang memberi penekanan kepada aspek kecekapan operasi, kebolehpercayaan serta tahap keselamatan yang lebih tinggi berbanding kapal generasi lama.
Syarikat itu berkata Orkim Jade dijangka dapat mengurangkan penggunaan bahan api serta menurunkan intensiti pelepasan karbon selaras dengan usaha memperkukuh amalan kelestarian.
Penambahbaikan ini dilihat sebagai sebahagian daripada komitmen Orkim untuk mematuhi keperluan regulatori industri maritim yang semakin menekankan aspek mesra alam dan kecekapan tenaga.
Ketua Pegawai Eksekutif Orkim, Kapten Cheah Sin Bi berkata, pembangunan kapal tersebut berjalan mengikut jadual dan mencerminkan pelaksanaan strategi pertumbuhan syarikat yang konsisten.
“Usaha mengekalkan kapal yang lebih baharu, moden dan efisien kekal menjadi keutamaan syarikat dalam memastikan perkhidmatan pengangkutan marin yang selamat dan boleh dipercayai.
“Pembaharuan aset armada bukan sahaja meningkatkan keupayaan operasi, malah menyokong agenda kelestarian syarikat melalui pengurangan penggunaan bahan api dan pelepasan emisi sepanjang kitar hayat kapal.
“Dengan pelancaran Orkim Jade, syarikat yakin dapat memperkukuh kedudukan dalam industri pengangkutan marin dan pada masa yang sama terus memberi tumpuan kepada pertumbuhan mampan dan peningkatan prestasi operasi,” katanya. - DagangNews.com








