Institut Jurutera Malaysia, YTL Cement bekerjasama fokus latihan dan pembangunan bakat profesional | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Institut Jurutera Malaysia, YTL Cement bekerjasama fokus latihan dan pembangunan bakat profesional

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Jun – Institut Jurutera Malaysia (IEM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) selama tiga tahun bersama YTL Cement bagi memperkukuh pembangunan bakat dan kemahiran dalam kalangan komuniti kejuruteraan negara.

 

Kerjasama strategik itu dimeterai melalui cabang pembelajaran dan pembangunan YTL Cement, iaitu CDL Academy yang akan berperanan sebagai platform utama dalam pelaksanaan program latihan dan pembangunan profesional tersebut.

 

Menurut kenyataan bersama, inisiatif ini bertujuan mewujudkan rangka kerja berstruktur bagi program peningkatan kemahiran dan pembangunan profesional berterusan untuk jurutera di Malaysia.

 

Antara fokus utama kerjasama berkenaan termasuk penganjuran seminar teknikal, bengkel, dialog industri serta program pembangunan kompetensi bagi memastikan jurutera sentiasa seiring dengan perkembangan teknologi dan amalan industri semasa.

 

Selain itu, CDL Academy dan IEM turut akan menganjurkan Simposium Teknikal IEM–YTL Cement yang julung kali diadakan sempena Pameran dan Persidangan Kejuruteraan Tahunan IEM pada September 2026.

 

Program berkenaan turut akan memperkukuh pelaksanaan program yang menyediakan laluan profesional kepada graduan kejuruteraan untuk menjadi ahli korporat IEM dan seterusnya Jurutera Profesional (PE).

 

Melalui inisiatif ini, peserta akan mendapat pendedahan industri sebenar melalui bimbingan mentor serta pembelajaran berasaskan pengalaman kerja sekali gus merapatkan jurang antara teori akademik dan keperluan industri.

 

IEM berkata usaha ini penting dalam memastikan pembangunan modal insan kejuruteraan negara kekal relevan, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan industri yang semakin kompleks dan berteknologi tinggi.

 

Sejak ditubuhkan pada 2019, CDL Academy telah melatih lebih 10,000 peserta melalui lebih 100 inisiatif pembelajaran merangkumi pelbagai bidang teknikal dan profesional dalam industri pembinaan serta kejuruteraan.

 

Kerjasama strategik jangka panjang ini dijangka menjadi pemangkin kepada ekosistem kejuruteraan yang lebih mampan, selain memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab pembangunan bakat kejuruteraan serantau. - DagangNews.com