Abdul Samad Alias lepaskan jawatan Pengarah Maxim Global selepas 12 tahun berkhidmat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Abdul Samad Alias lepaskan jawatan Pengarah Maxim Global selepas 12 tahun berkhidmat

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 16 JunMaxim Global Berhad mengumumkan Tan Sri Dr Abdul Samad Alias melepaskan jawatannya sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif yang berkuat kuasa 16 Jun 2026.

 

Peletakan jawatannya yang juga rakyat Malaysia pertama menganggotai Lembaga Persekutuan Akauntan Antarabangsa (IFAC) itu, menandakan berakhir lebih sedekad perkhidmatan dalam lembaga pengarah.

 

Langkah itu juga adalah sebahagian peralihan kepimpinan dan rancangan penggantian lembaga pengarah selepas beliau genap 12 tahun berkhidmat, selain memberi tumpuan kepada kepentingan peribadi lain.

 

"Tiada sebarang perselisihan pendapat antara beliau dengan lembaga pengarah dan tiada perkara yang perlu dibawa kepada perhatian pemegang saham berhubung peletakan jawatan tersebut," jelas Maxim.

 

Abdul Samad, 83, merupakan tokoh korporat, perakaunan dan kewangan disegani di Malaysia dengan pengalaman luas dalam sektor awam dan swasta, khususnya bidang tadbir urus korporat, serta audit.

 

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk sebagai Presiden Institut Akauntan Bertauliah Malaysia (MICPA), dan Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Berhad.

 

Selain itu ujar kumpulan tersebut, tokoh ini pernah menerajui Malaysia Debt Ventures Berhad dan kemudian dilantik menjadi Pengerusi Pengasas Forum Institusi Pengarah Malaysia (FIDE FORUM) sejak 2010.

 

Pengunduran Abdul Samad dilihat menutup satu era penting dalam barisan kepimpinan Maxim, sekali gus membuka ruang kepada proses peremajaan dan pengukuhan struktur tadbir urus syarikat. - DagangNews.com