Beshom jual tanah industri pegangan bebas di Klang bernilai RM85.8 juta kepada JT Development | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Beshom jual tanah industri pegangan bebas di Klang bernilai RM85.8 juta kepada JT Development

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 16 JunBeshom Holdings Berhad melupuskan sebanyak tiga plot tanah perindustrian berstatus pegangan bebas di Mukim Kapar, Klang, Selangor pada harga RM85.8 juta secara tunai.

 

Langkah berkenaan menurut maklumannya, dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuhnya, Hai-O Enterprise Bhd setelah memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan JT Development Sdn Bhd.

 

Hartanah itu yang terletak di Jalan Kapar, berkeluasan agregat 58,994 meter persegi, dengan lokasi disifatkan strategik kerana berhampiran Lebuhraya Grand Sepadu dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE).

 

"Kedudukan aset ini sendiri sudah memberikan banyak kelebihan kepada lori kontena dari segi akses yang mudah terus ke Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Klang," jelas Beshom kepada Bursa Malaysia.

 

Pelupusan tersebut tambah kumpulan berkenaan, dijangka memberikan keuntungan bersih pro forma sebanyak RM52.78 juta dan merupakan peluang untuk mencairkan nilai hartanah pada harga semasa.

 

Syarikat itu bercadang untuk menggunakan hasil pelupusan bagi tujuan pemerolehan gudang baharu sebanyak RM28.00 juta, dan RM45.84 juta bagi modal kerja termasuk pengembangan perniagaannya.

 

Ini termasuk kedai runcit, pembangunan produk, dan naik taraf sistem teknologi maklumat (IT), manakala RM3 juta bagi pembinaan pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) baharu dan prasarana lain.

 

"Sementara RM2.65 juta untuk pengubahsuaian dan naik taraf hartanah sedia ada, dengan bakinya bagi pembayaran cukai keuntungan harta tanah (RPGT) dan perbelanjaan berkaitan pelupusan," katanya.

 

Pelupusan ini dijangka memberi kesan positif kepada pendapatan sesaham (EPS) Beshom sendiri, yang dianggarkan meningkat daripada 2.78 sen kepada 20.40 sen berdasarkan pengiraan pro forma.

 

Transaksi ini dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2027, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) serta kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan.

 

Affin Hwang Investment Bank Berhad telah dilantik oleh pengurusan kumpulan tersebut sebagai penasihat utama bagi cadangan pelupusan hartanah berkenaan. - DagangNews.com