Sanichi cadang pengurangan modal RM200 juta hapus kerugian terkumpul syarikat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sanichi cadang pengurangan modal RM200 juta hapus kerugian terkumpul syarikat

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 16 Jun - Sanichi Technology Berhad mengumumkan cadangan untuk dapat melaksanakan langkah pengurangan sebanyak RM200 juta daripada keseluruhan modal saham terbitannya.

 

Usaha tersebut, yang akan dilakukan di bawah Seksyen 117 Akta Syarikat 2016, bertujuan untuk membatalkan modal saham yang sudah pun hilang atau tidak diwakili oleh aset yang tersedia.

 

Kumpulan itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia menjelaskan yang kredit terhasil daripada pengurangan modal ini akan digunakan untuk menghapuskan kerugian terkumpul syarikat berkenaan.

 

"Baki kredit selepas penghapusan tersebut akan dimasukkan ke dalam pendapatan tertahan syarikat untuk kegunaan masa hadapan yang akan ditentukan oleh Lembaga Pengarah Sanichi," jelasnya.

 

Setakat 28 Mei 2026, modal saham terbitan berjumlah RM293,152,909 yang terdiri 164,308,228 saham biasa, dan selepas pelaksanaan ini, modal saham terbitan akan berkurang kepada RM93.15 juta.

 

Menurutnya, rasional di sebalik langkah ini untuk mencerminkan kedudukan kewangan kumpulan dengan lebih tepat dan menyediakan penimbal terhadap sebarang kerugian luar jangka pada masa depan. 

 

Ini berikutan pengurangan modal yang pernah dibuat pada 2024 didapati tidak cukup bagi dihapuskan sepenuhnya kerugian terkumpul, setelah mencecah sebanyak RM88.53 juta setakat 31 Mac 2026.

 

"Sanichi turut menegaskan cadangan pengurangan modal ini tidak akan menjejaskan harga sahamnya, dan tidak mengubah jumlah bilangan saham dipegang oleh pemegang saham sedia ada," katanya lagi.

 

Usaha berkenaan juga tambah kenyataan kumpulan tersebut, tidak akan melibatkan sebarang aliran keluar tunai syarikat kecuali kos anggaran ke atas perbelanjaan bagi cadangan itu sahaja.

 

Langkah korporat ini ujarnya, dijangka dapat meningkatkan kredibiliti kumpulan berkenaan kepada pihak bank, pelanggan, pembekal, dan pelabur sendiri dalam jangka sederhana serta panjang.

 

Bagaimanapun jelas Sanichi lagi, cadangan tersebut masih tertakluk kepada kelulusan majoriti pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan dalam masa terdekat.

 

Sehubungan itu tambah kumpulan berkenaan, jika segala-galanya dapat berjalan dengan lancar, proses pengurangan modal tersebut dijangka siap sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun 2026.

 

Sierac Corporate Advisers Sdn Bhd dilantik oleh pihak pengurusan syarikat itu sebagai penasihat bagi cadangan pengurangan modal tersebut. - DagangNews.com