EPMB bina kemudahan mengecat kenderaan baharu di Melaka | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EPMB bina kemudahan mengecat kenderaan baharu di Melaka

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Jun - EP Manufacturing Berhad (EPMB) memulakan pembinaan kemudahan pengecatan kenderaan baharu di Pegoh, Melaka sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan ekosistem pembuatan automotif bersepadu bagi memenuhi keperluan pengeluar automotif global.

 

Kemudahan baharu itu dilihat sebagai satu lagi langkah strategik syarikat dalam transformasinya daripada pembekal komponen automotif Tahap 1 (Tier-1) kepada rakan pembuatan automotif bersepadu yang menawarkan penyelesaian menyeluruh.

 

Ini merangkumi pembangunan kandungan tempatan, pembuatan komponen, operasi pemasangan lengkap terurai (CKD), pemasangan kenderaan, pengecatan, jaminan kualiti, ujian serta sokongan eksport.

 

Dalam kenyataan EPMB berkata, pelaburan tersebut juga mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai antara hab industri automotif yang semakin berkembang di Malaysia.

 

Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berkata, kemudahan pengecatan itu bukan sekadar meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat, malah pelaburan strategik bagi pembangunan jangka panjang industri automotif di Melaka.

 

“Pengecatan kenderaan merupakan antara proses paling canggih dari segi teknologi dalam pembuatan automotif.

 

“Dengan mengintegrasikan operasi pengecatan ke dalam kawasan pembuatan sedia ada, EPMB mampu menawarkan penyelesaian CKD yang lengkap kepada jenama automotif global meliputi pembangunan kandungan tempatan, pemasangan, pengecatan dan kesediaan eksport,” katanya.

 

Peluang Vendor Tempatan

Menurut beliau, langkah tersebut akan meningkatkan daya tarikan EPMB sebagai rakan pembuatan kepada pengeluar peralatan asal (OEM) antarabangsa selain menyokong agenda kandungan tempatan negara.

 

Pada masa sama, pembangunan kemudahan itu dijangka mewujudkan lebih banyak peluang kepada vendor tempatan, mempercepatkan pemindahan teknologi, membangunkan tenaga kerja mahir dan meningkatkan kadar penyetempatan dalam rantaian bekalan automotif.

 

Pengumuman itu hadir ketika perniagaan pembuatan automotif EPMB berkembang pesat hasil kerjasama strategik dengan empat kumpulan automotif utama dari China iaitu GWM, BAIC, SAIC-MG dan XPENG.

 

Daripada hanya terlibat dalam satu program OEM sebelum ini, syarikat kini menyaksikan jumlah pengeluaran melebihi 1,000 kenderaan sebulan dengan pertumbuhan selanjutnya dijangka disokong pelancaran program baharu serta peningkatan aktiviti eksport.

 

Kenderaan yang dipasang di fasiliti Pegoh kini telah memasuki pasaran serantau termasuk Thailand, manakala EPMB sedang bekerjasama rapat dengan rakan OEM untuk memperluaskan eksport ke seluruh ASEAN dan pasaran antarabangsa lain. - DagangNews.com