Anak syarikat Scanwolf raih kontrak RM75 juta kerja asas projek pangsapuri servis 74 tingkat di Kuala Lumpur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anak syarikat Scanwolf raih kontrak RM75 juta kerja asas projek pangsapuri servis 74 tingkat di Kuala Lumpur

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Jun – Scanwolf Corporation Berhad (SCB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Scanwolf Trading & Construction Sdn Bhd memperoleh kontrak daripada Hallson Construction Sdn Bhd bagi kerja-kerja pembinaan bernilai RM75 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Scanwolf berkata ia melibatkan projek pembangunan bercampur berskala besar di Kuala Lumpur untuk tetuan Armani Hallson Sdn Bhd.

 

“Projek berkenaan merangkumi cadangan pembangunan sebuah blok pangsapuri servis setinggi 74 tingkat dengan 1,072 unit, selain komponen ruang kedai, kemudahan, utiliti serta tempat letak kereta bertingkat.

 

“Pembangunan itu akan dilaksanakan di Seksyen 19, Jalan Pavilion, Mukim Bandar Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan,” katanya.

 

Skop kerja yang diberikan kepada anak syarikat SCB itu merangkumi kerja-kerja cerucuk dan struktur bawah bangunan.

 

Ia turut melibatkan reka bentuk, kejuruteraan dan pembinaan sistem asas bangunan termasuk kerja tanah, struktur penahan serta semua kerja di bawah paras lantai terendah.

 

Tempoh kontrak ditetapkan selama 24 bulan bermula 16 Jun 2026 dan dijangka siap pada 15 Jun 2028.

 

Dari segi risiko, syarikat menyenaraikan cabaran seperti ketersediaan tenaga kerja mahir, turun naik harga bahan binaan serta perubahan keperluan dan peraturan semasa.

 

Bagaimanapun, SCB memaklumkan pelbagai langkah mitigasi akan dilaksanakan bagi mengurangkan risiko tersebut sepanjang tempoh pembinaan.

 

Dari aspek kewangan, kontrak ini tidak memberi kesan kepada modal saham atau struktur pegangan saham syarikat, namun dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih per saham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, 2027 dan 2028.

 

Syarikat turut menjelaskan bahawa kontrak ini merupakan transaksi pihak berkaitan berulang (RRPT), memandangkan Dato’ Seah Ley Hong, yang merupakan Pengarah Urusan dan pemegang saham utama SCB, juga merupakan pemegang saham dan pengarah tunggal Hallson Construction Sdn Bhd.

 

Walau bagaimanapun, SCB memaklumkan bahawa mandat untuk menjalankan RRPT telah diperoleh daripada pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-19 yang berlangsung pada 27 November 2025. - DagangNews.com