KUALA LUMPUR 16 Jun - Valet Technology Sdn Bhd merancang untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada suku pertama tahun kewangan 2026, bagi menyokong rancangan pengembangan dalam bidang keselamatan siber dan keselamatan identiti.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Puan Sri Rayana Abdul Rahman berkata, penyenaraian itu bukan sekadar untuk mengumpul dana, tetapi juga untuk mengukuhkan asas syarikat dalam teknologi keselamatan identiti dan aktiviti penyelidikan serta pembangunan (R&D).
"Kami sedang bersedia untuk penyenaraian pada awal tahun depan. Selain mendapatkan modal, langkah ini penting untuk mengukuhkan usaha kami dalam keselamatan identiti dan R&D," katanya kepada Bernama.
Valet Technology ditubuhkan pada 1995 sebagai penyedia keselamatan tradisional dan kini berkembang menjadi syarikat teknologi tempatan dengan lebih 200 pekerja dan rangkaian lebih 1,000 rakan teknologi sistem (SI) di seluruh negara.
Rayana berkata, syarikat bermula dengan perkhidmatan keselamatan biasa, namun melihat peluang untuk berkembang bersama usahawan kecil.
Kini, rakan pelaksana sistem membawa produk Valet Technology ke seluruh negara dengan sokongan latihan dan peralatan daripada syarikat.
Antara pelanggan utama Valet Technology termasuk Jabatan Imigresen dan beberapa kementerian seperti Kementerian Pengangkutan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kesihatan.
Melalui rakan teknologi itu juga, Valet Technology membekalkan lebih 200 palang automatik (boom gate) di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta di Tuas (laluan kedua) untuk kegunaan pejalan kaki dan pengangkutan awam.
"Kami membantu mereka dalam proses tender dan memberi sokongan teknikal serta kepakaran produk," katanya sambil memberitahu, hasil syarikat kini mencecah kira-kira RM25 juta dan dijangka terus meningkat selepas penyenaraian.
Valet Technology yang dikenali dengan produk motor pintu sorong VT Series, kini turut berkembang ke bidang keselamatan digital dan siber.
Antaranya termasuk pelancaran Valet Shield, iaitu sistem pengesan panggilan penipuan berasaskan AI yang dibangunkan bersama rakan dari Amerika Syarikat.
Syarikat itu juga sedang berbincang dengan Kementerian Pengangkutan dan Teknologi Oman serta syarikat telekomunikasi negara itu, Omantel (di bawah Kumpulan ITHCA), untuk membawa teknologi berkenaan ke pasaran Asia Barat.
Selain itu, Valet Technology turut merancang kerjasama di Indonesia dan negara-negara di Afrika.
Untuk mengukuhkan peranan dalam bidang tersebut, Valet Technology turut mendapat lesen daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran bagi menawarkan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dalam elektronik melalui akademi dalaman syarikat.
Rayana berkata, langkah seterusnya dalam bidang keselamatan identiti akan disokong oleh pembukaan divisyen baharu di Cyberjaya yang akan menjadi pusat pertumbuhan baharu syarikat. - DagangNews.com








