KUALA LUMPUR 25 Feb – Kelington Group Berhad, penyedia rumusan kejuruteraan bersepadu mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah suku keempatnya apabila mencapai RM50.5 juta pada 4QFY25.
Keputusan ini disokong oleh peningkatan pendapatan sebanyak 33% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, iaitu RM404.9 juta daripada RM304.4 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kelington berkata pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh sumbangan kukuh dari Malaysia dan Singapura, serta projek baru di Jerman yang mula memberi hasil sejak Ogos 2025.
“Margin keuntungan kasar dan bersih syarikat kekal stabil pada 21.7% dan 12.5%.
“Bagi keseluruhan tahun kewangan 2025, Kelington merekodkan pendapatan sebanyak RM1.27 bilion, hampir sama dengan RM1.27 bilion pada FY24. Namun, keuntungan bersih meningkat 19.3% kepada RM151.2 juta, melebihi rekod sebelumnya sebanyak RM126.8 juta,” katanya dalam makluman tersebut.
Margin keuntungan bersih tahunan syarikat juga meningkat daripada 9.8% ke 11.9%, hasil daripada strategi syarikat yang menumpukan kepada projek-projek dengan potensi margin lebih tinggi.
Segmen Kejuruteraan terus menjadi penyumbang utama pendapatan dengan RM847.7 juta, iaitu 67% daripada jumlah keseluruhan diikuti segmen Kontrak Am menyumbang RM202.2 juta, manakala Kejuruteraan Proses Industri mencatat RM93.4 juta.
Dari segi geografi, Malaysia menyumbang 36% pendapatan, diikuti Singapura 35%, China 22%, Taiwan 2% dan Jerman 2%. Projek di Jerman bakal memberikan sumbangan baharu bagi syarikat dalam tahun kewangan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kelington Group, Lim Seng Chuan prestasi kukuh yang dicapai adalah untuk lima tahun berturut-turut dengan rekod keuntungan bersih.
“Fokus kepada projek bermargin tinggi dan kepelbagaian geografi terbukti memberi manfaat manakala prospek untuk segmen kejuruteraan syarikat kekal positif, didorong oleh permintaan yang meningkat dalam industri semikonduktor.
“Kelington telah memperoleh RM1.3 bilion dalam pesanan baru sepanjang FY25, melebihi pesanan tahun sebelumnya dan memperkukuh keyakinan terhadap pendapatan masa depan,” katanya.
Syarikat juga sedang aktif membida projek-projek lain, dengan tender yang kini berjumlah lebih RM4 bilion. - DagangNews.com








