Untung 4Q25 PETRONAS Gas jatuh 21% akibat kos pengangkutan dan kadar cukai tinggi, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung 4Q25 PETRONAS Gas jatuh 21% akibat kos pengangkutan dan kadar cukai tinggi, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Feb – Prestasi PETRONAS Gas Berhad (PetGas) bagi suku keempat tahun kewangan 2025 mengecewakan apabila keuntungan bersih susut 21% tahun ke tahun (YoY) kepada RM350 juta.


Menurut penganalisis, situasi tersebut didorong lonjakan kos penyelenggaraan dan susut nilai dalam segmen pengangkutan gas serta kadar cukai efektif yang dikatakan lebih tinggi pada suku itu.


Bagi tahun kewangan 2025, keuntungan bersih mencecah RM1.7 bilion, turun 8% YoY berbanding FY24 dan di bawah jangkaan, namun syarikat tersebut berupaya mengekalkan dividen sesaham (DPS) 72 sen.


Maybank Investment Bank menyifatkan keputusan bagi 4Q25 adalah di bawah unjuran mereka sendiri dan konsensus, sebahagiannya akibat kos lebih tinggi daripada jangkaan di bahagian pengangkutan.


"Kemerosotan suku ke suku (QoQ) didorong peningkatan kerja penyelenggaraan dan susut nilai di segmen itu, manakala pendapatan kesar bagi pemprosesan dan regasifikasi kekal stabil," katanya.


Justeru, firma itu menurunkan unjuran keuntungan FY26 dan FY27 masing-masing 2% dan memperkenalkan unjuran FY28, manakala harga sasaran (TP) turut disemak rendah kepada RM18.00 daripada RM18.40.


Bagaimanapun Maybank IB mengekalkan saranan 'pegang', dengan mengambil kira hasil dividen 4% dan potensi projek baharu seperti terminal regasifikasi ketiga di Lumut yang dijangka siap pada FY29.


Sementara itu, RHB Research mengekalkan saranan 'neutral' dan TP RM19.10, sambil menyifatkan saham PetGas sudah mengambil kira faktor positif seperti kenaikan tarif serta jangkaan kos lebih rendah.


"Pendapatan FY25 mencapai 93% daripada jangkaan kami, dan terjejas oleh kadar cukai efektif tinggi iaitu 25% pada 4Q25 berbanding 11% pada 4Q24 susulan tiada elaun cukai pelaburan (ITA)," katanya.


Jelasnya, peningkatan kos operasi di unit pengangkutan gas berikutan kerja pemulihan dan langkah mitigasi selepas insiden kebakaran di Putra Heights pada 2 April 2025 turut melemahkan PetGas.


Sumbangan rendah segmen utiliti akibat penurunan tarif elektrik di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4), juga menjejaskan kumpulan, namun RHB Research menjangka keuntungan FY26 meningkat 17% YoY.


Situasi ini tambah firma tersebut, disokong tarif elektrik yang stabil, harga gas rujukan Malaysia (MRP) lebih rendah serta kenaikan tarif asas kira-kira 2% di bawah Tempoh Kawal Selia 3 (RP3).


Di samping itu, firma berkenaan turut melihat potensi projek terminal regasifikasi ketiga (RGT3) sebagai pemangkin tambahan, yang boleh meningkatkan TP PetGas sekitar 4% sekiranya diumumkan.


"Secara keseluruhan, kumpulan ini masih menawarkan pulangan dividen stabil sekitar 4%, namun tekanan kos dan ketidaktentuan perbelanjaan penyelenggaraan kekal menjadi risiko," katanya. - DagangNews.com