Trafik penumpang udara Malaysia dijangka pulih sepenuhnya pada 2025, kata MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Trafik penumpang udara Malaysia dijangka pulih sepenuhnya pada 2025, kata MIDF Research

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Dis - MIDF Research menjangkakan pemulihan sepenuhnya dalam trafik penumpang udara Malaysia tahun depan dengan pertumbuhan 4% berbanding tahap pra pandemik pada 2019.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengunjurkan trafik penumpang udara untuk 2024 kepada julat antara 95.4 juta dan 97.6 juta, sedikit di bawah anggarannya pada 98.7 juta.

 

“Kami menjangkakan trafik penumpang udara bulan ini mencecah antara 8.5 juta dan 10 juta, disokong musim cuti akhir tahun, menjadikan angka setahun penuh antara 93.6 juta dan 95.1 juta, yang masih selaras dengan jangkaan.

 

“Dalam jangka panjang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata, mereka sedang giat mengejar lebih 25 syarikat penerbangan baharu dan mereka menjangkakan operasinya bermula dalam tempoh dua tahun akan datang.

 

"Permulaan penerbangan British Airways telah ditangguhkan hingga April 2025 kerana cabaran dengan ketersediaan pesawat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

MIDF Research berkata, jumlah trafik penumpang pada November mencapai pemulihan 89% dengan volum domestik sebanyak 83% dan antarabangsa pada 94%.

 

Katanya, permintaan kekal teguh walaupun kapasiti tempat duduk pulih kepada hanya 83%, seperti yang dicerminkan oleh faktor muatan yang kukuh sebanyak 79%, iaitu 5.4 mata peratusan lebih tinggi daripada paras pra pandemik.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pemulihan sektor antarabangsa secara berterusan mengatasi sektor domestik sepanjang tahun lalu.

 

"13 syarikat penerbangan baharu melancarkan perkhidmatan ke Malaysia, melebihi sasaran tahunan MAHB sebanyak 12.

 

"Lapan daripada 13 ini adalah syarikat penerbangan China, dengan trafik penumpang dari China pulih sepenuhnya mulai Julai 2024 dan seterusnya, didorong pemulihan sambungan rangkaian.

 

"Pemulihan itu turut disokong oleh syarikat penerbangan sedia ada, yang telah melancarkan 52 perkhidmatan baharu setakat September.

 

MIDF Research berkata, MAHB terus melaporkan perkhidmatan baharu yang berlepas dari lapangan terbang antarabangsa utama Malaysia setiap bulan, bersama-sama dengan peningkatan kekerapan penerbangan, mencerminkan trend positif. - DagangNews.com