KUALA LUMPUR 7 Julai – SP Setia Berhad melancarkan Kempen Impian Bumiputera bagi memperkukuh akses pemilikan rumah dalam kalangan pembeli Bumiputera menerusi tawaran ganjaran IKEA bernilai keseluruhan RM285,000.
Kempen yang berlangsung dari 1 Julai hingga 30 September 2026 itu menawarkan ganjaran kepada 57 pembeli Bumiputera terawal yang membeli unit Bumiputera di pembangunan Setia di seluruh negara.
Setiap pembeli yang layak akan menerima kad hadiah IKEA bernilai RM5,000 yang boleh digunakan untuk membeli perabot serta melengkapkan kediaman baharu mereka mengikut keperluan masing-masing.
Setia memaklumkan, pembeli perlu membeli unit kediaman yang diperuntukkan untuk Bumiputera dalam tempoh kempen dan menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) dalam tempoh 30 hari selepas membuat tempahan bagi melayakkan diri menerima ganjaran tersebut.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Setia, Datuk Zaini Yusoff berkata, pemilikan rumah merupakan satu pencapaian penting yang menjadi asas kepada kestabilan kewangan jangka panjang serta pembangunan komuniti yang mampan.
Menurut beliau, melalui Kempen Impian Bumiputera, Setia berhasrat membantu lebih ramai keluarga Bumiputera mengambil langkah pertama ke arah memiliki kediaman sendiri menerusi nilai tambah yang dapat menyokong perjalanan pemilikan rumah mereka.
“Bagi kebanyakan pembeli rumah, berpindah ke kediaman baharu lazimnya melibatkan perbelanjaan tambahan untuk melengkapkan dan memperibadikan ruang kediaman mereka.
“Ganjaran IKEA yang ditawarkan menerusi kempen ini memberikan fleksibiliti tambahan kepada pembeli yang layak dalam membuat persiapan serta menyesuaikan kediaman baharu Setia mengikut keperluan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Semua pembangunan Setia di seluruh Malaysia mengambil bahagian dalam kempen berkenaan, memberikan pembeli pilihan lebih luas untuk memiliki kediaman di perbandaran terancang serta komuniti mampan.
Inisiatif itu selaras dengan usaha berterusan Setia untuk memperluaskan peluang pemilikan rumah dan menyokong pembangunan komuniti yang mempunyai nilai jangka panjang, berasaskan pengalaman syarikat selama lebih lima dekad dalam membangunkan perbandaran. - DagangNews.com








