Aemulus peroleh kontrak RM17.68 juta bekalkan sistem ujian peranti automotif pelanggan tempatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aemulus peroleh kontrak RM17.68 juta bekalkan sistem ujian peranti automotif pelanggan tempatan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 7 JulaiAemulus Holdings Berhad terus mengukuhkan momentum pertumbuhan apabila memperoleh kontrak bernilai RM17.68 juta daripada pelanggan tempatan dalam industri automotif.

 

Kumpulan itu berkata tender berkenaan diraih anak syarikat milik penuhnya, Aemulus Corporation Sdn Bhd (ACSB) yang melibatkan pembekalan sistem ujian untuk peranti automotif kepada pelanggan tersebut.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat menjelaskan hasil kontrak itu akan diiktiraf secara berperingkat mengikut penghantaran sistem kepada pelanggan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

 

"Keseluruhan tender ini dijangka dipenuhi dalam tahun kewangan 2026 dan 2027, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan prestasi operasi syarikat dalam tempoh berkenaan," jelas kenyataan Aemulus.

 

Menurut syarikat tersebut lagi, kontrak baharu berkenaan turut dijangka dapat memberi sumbangan yang cukup positif kepada keterlihatan aspek pendapatan kumpulan itu bagi kedua-dua tahun kewangan.

 

Aemulus_DagangNews2026

 

Bagaimanapun, ia menjelaskan yang kontrak itu tidak dijangka pula memberi sebarang kesan material kepada aset bersih sesaham bagi tahun kewangan syarikat apabila berakhir pada 30 September 2026.

 

Selain itu ujar Aemulus, pelaksanaan kontrak tersebut juga tidak akan menyebabkan apa-apa kesan terhadap modal saham yang diterbitkan mahupun struktur pegangan saham kumpulan berkenaan sendiri.

 

"Pelaksanaan kontrak masih tertakluk kepada beberapa risiko biasa termasuk bahan mentah, perubahan harga material, gangguan rantaian bekalan serta situasi politik, ekonomi dan peraturan," katanya.

 

Tiada pengarah, pemegang saham utama atau mana-mana pihak yang mempunyai hubungan dengan mereka memiliki sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam tender baharu itu.

 

Perolehan kontrak ini dilihat mengukuhkan kedudukan Aemulus dalam segmen sistem ujian semikonduktor dan automotif, serta meningkatkan keterlihatan hasil dua tahun kewangan. - DagangNews.com